suria

SPRM Rujuk Keputusan Peguam Negara Kepada PPO

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  memutuskan untuk merujuk keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi ALi berkaitan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

Kenyataan yang dikeluarkan SPRM menyebut, perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas pagi Rabu bagi membincangkan keputusan Peguam Negara yang mengarahkan pihaknya menutup kes berkenaan.

"Pengurusan Tertinggi SPRM memutuskan untuk membentangkan kepada PPO, salah satu badan bebas yang dibentuk kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM.

"Salah satu terma rujukan PPO adalah memberi pendapat berhubung tindakan kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya," menurut SPRM.

SPRM berkata, PPO dibentuk mengikut Akta SPRM 2009 bagi tujuan penilaian dan pertimbangan, selain satu lagi panel khas yang akan dilantik.

PPO dipengerusikan Tan Sri Dr Hamid Bugo dan dianggotai Tan Sri Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Prof Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M Pathmanathan dan Lim Chee Wee.

Semalam, Mohamed Apandi berkata, Jabatan Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan SPRM berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Mohamed Apandi berkata, beliau sudah mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan terbabit ditutup atau NFA/KUS, iaitu tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

Artikel Berikut

Artikel Lain