suria

Polis Buru 'Geng Michael' Terlibat Kes Samun

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli (kiri) ketika mengadakan sidang media mengenai beberapa kes samun, pecah rumah dan dadah di IPD Subang Jaya, Selasa. Turut kelihatan Timbalannya Supt Lee Swee Meng (kanan). -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Polis memburu lima anggota kumpulan samun bertopeng dikenali sebagai 'Geng Michael' yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata antara lima yang diburu dua daripadanya dikenal pasti iaitu dua lelaki berusia 41 dan 42 tahun yang beralamat di Subang Indah dan Taman Perdana di sini.

"Kesemua suspek ini disyaki melakukan kegiatan itu walaupun pernah ditangkap sebelum ini," katanya dalan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, dekat sini, Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, seorang tukang urut ditahan polis kerana disyaki menjadi dalang dalam beberapa kes samun di sebuah kedai urut sekitar SS15/4, Subang Jaya, semalam.

Yahaya berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada 2.45 petang di tempat kerjanya.

"Suspek sering melakukan rompakan seorang diri dan ditahan polis selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup di sebuah pejabat logistik yang dipecah masuk oleh suspek pada hari yang sama," katanya.

Yahaya berkata dalam rompakan itu, suspek melarikan dua monitor komputer, enam buah CPU dan empat cakera keras yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan menjualnya di sebuah kompleks membeli-belah.

"Seorang lelaki berusia 30 tahun yang membeli alat berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Yahaya berkata polis turut merampas pemotong dawai, tukul besi dan alatan yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah di pusat urut berkenaan.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.
Geng Michael, kes samun, Yahaya Ramli

Artikel Sebelum

Artikel Lain