suria

Beri Peluang Wanita Ke Stesen Angkasa Antarabangsa - Sheikh Muszaphar

Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berucap berlatar belakangkan sut angkasawannya 'Sokol Spacesuit' yang dipakainya semasa menjalankan misi angkasa lepas dengan menaiki Soyuz TMA-11 ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS) 2007, pada majlis Sepetang Bersama Angkasawan Muslim di Angkasa di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Selasa. Hadir sama pada majlis tersebut Angkasawan Rusia, Salizhan Sharipov. -fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan disaran memberi peluang kepada golongan wanita untuk diserap dalam program misi menghantar angkasawan kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Menyarankan demikian, Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berkata, "Apabila wanita diberi peluang ke ISS, kita juga berharap mereka ini mampu menjadi pemangkin semangat kepada wanita lain untuk mencapai impian mereka (ke angkasa lepas)".

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menunjukkan pakaian angkasa SOKOL kepada pengunjung kompleks karangkraf di sini, Selasa.

Pakaian tersebut digunakan Sheikh Muszaphar Shukor dalam perjalanannya ke Soyuz TMA-11, sembilan tahun lepas.

Turut hadir pada majlis itu, Angkawasan Rusia Salizhan Sharipov.

Sheikh Muszaphar berkata program angkasawan negara kedua perlu mempunyai misi yang berbeza supaya ia lebih bermanfaat dan berbaloi.

"Ia bukan perkara yang mudah," katanya.

"Untuk program ini kita memerlukan kos yang sangat besar. 

"Program yang kedua perlu berbeza dengan program yang pertama supaya kajian dibuat dapat dimanfaatkan sepenuhnnya selain dilihat berbaloi dengan kos yang dikeluarkan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilaporkan akan mengemukakan cadangan berkenaan program misi menghantar angkasawan kedua ke ISS untuk melakukan penyelidikan saintifik, kepada kerajaan pada penghujung tahun ini.

Timbalan menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata MOSTI kini sedang merangka perinciannya menerusi perjumpaan, perbincangan dan perundingan bersama para saintis, ahli akademik dan mereka yang berkaitan dalam menentukan jenis penyelidikan yang sesuai dilakukan.

ISS, Mosti, Datuk Dr Sheikh Muszaphar

Artikel Lain