suria

"Kami Baru Sahaja Tinggalkan Kawasan Letupan" - Nasha

Nasharudin Mat Isa.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Nasharudin Mat Isa dalam perjalanan pulang ke hotelnya di Jakarta selepas menghadiri satu mesyuarat apabila kenderaan yang dinaikinya terpaksa dilencongkan polis ke laluan yang lebih jauh.

Beliau bertanya kepada polis mengenai kekecohan tersebut dan dimaklumkan berlaku letupan di Jakarta.

"Kami baru sahaja meninggalkan kawasan tersebut empat hingga lima minit lebih awal," katanya dalam satu temubual menerusi telefon dari Jakarta.

Nasharuddin berkata sebaik sahaja beliau tiba di lobi hotel, keadaan sunyi sepi dan lengang.

"Berdasarkan pengalaman saya tinggal di Grand Hyatt, ruang lobi sentiasa sibuk dan dipenuhi orang ramai," katanya.

Menerusi bilik hotelnya, beliau boleh melihat helikopter berlegar-legar di ruang udara dan kenderaan polis bergerak ke kawasan insiden letupan.

Hotel tersebut terletak hanya 800 meter dari lokasi letupan tetapi Nasharuddin berkata beliau tidak bimbang bahawa hotel tersebut mungkin menjadi sasaran pengganas.

"Kawalan keselamatan amat ketat di hotel ini. Mereka memeriksa semua kenderaan jika terdapat sebarang bahan letupan dan pemeriksaaan badan bagi semua orang yang memasuki hotel tersebut. Jadi ia kelihatan selamat," katanya.

Pada Julai 2009, Hotel JW Marriot dan Ritz Carlton di Jakarta menjadi sasaran pengebom berani mati yang menyaksikan beberapa kematian dan kecederaan.


Nasharudin Mat Isa, GMM, letupan, Jakarta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain