suria

Malaysia Kutuk Insiden Letupan Bom Di Jakarta

Dua orang awam dilaporkan maut dalam insiden letupan di Jakarta.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom di Jakarta, Indonesia pagi Khamis yang mengorbankan nyawa dan mendatangkan kecederaan kepada orang awam yang tidak berdosa.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Khamis berkata susulan kejadian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghubungi Presiden Joko Widodo untuk menyampaikan ucapan takziah dan simpati kerajaan Malaysia kepada pemerintah serta rakyat Indonesia.

"Kementerian ingin mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian letupan bom tersebut. Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Indonesia dan memantau perkembangan terkini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jika ada rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian 0062 21 5224 947 atau melalui emel kedutaan, [email protected].

Selain itu, boleh menghubungi alamat kedutaan di Jalan H.R. Rasuna Said Mukim. X/6, No. 1-3 Kuningan Jakarta Selatan 12950 Republik Indonesia.

Tujuh orang disahkan maut dalam kejadian serangan bom di luar kawasan Gedung Sarinah di Jakarta pada 10.50 pagi tadi, manakala 13 lagi dilaporkan parah termasuk lima anggota polis. - BERNAMA

letupan, Jakarta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain