suria

Kerajaan Lebih Tumpu Ekonomi Negara Tahun Ini - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan peneraju industri tempatan mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 di Bangunan Perdana Putra, Jumaat. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kiri).

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan yang lebih kepada ekonomi negara tahun ini berikutan beberapa cabaran ketika ini khususnya  kejatuhan harga minyak mentah dunia yang akan memberi kesan terhadap kos sara hidup, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata apabila pendapatan negara melalui hasil minyak merudum dengan ketara lebih daripada RM30 bilion, maka pendapatan melalui sumber lain perlu ditingkatkan untuk menampung kekurangan tersebut.

"Fenomena ini memang pahit bagi negara namun, secara tidak langsung sektor awam dan swasta terdorong untuk menilai semula tahap kecekapan perjalanan dan operasi syarikat dan sumbangan daripada para pekerja.

"Kita perlu menjalankan usaha-usaha yang lebih kreatif dan inovatif untuk mengoptimumkan kos tadbir urus serta memaksimumkan produktiviti. Dengan ini, hasil entiti awam dan swasta dapat dipertingkatkan lagi," katanya dalam catatan dalam blog beliau NajibRazak.com, Jumaat.

Beliau berkata kesan daripada itu, pendapatan negara turut bertambah dan ia sedikit sebanyak dapat menampung kekurangan pendapatan daripada kemerosotan hasil minyak.

"Peningkatan kadar pendapatan melebihi kadar inflasi, maka akan berkuranganlah beban kos sara hidup yang dirasai. Jadi, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan kita sepanjang tahun 2016 ini," katanya.

Dalam pada itu, Najib meminta rakyat supaya tidak mudah mempercayai tuduhan yang bermotifkan politik mengenai keadaan ekonomi negara.

"Kita perlu faham bahawa ketidaktentuan ekonomi negara adalah bukan dalam kawalan kita. Jadi, janganlah kita mudah mempercayai tuduhan yang bermotifkan politik yang cuba menyembunyikan hakikat ini," kata beliau.-- Bernama 


Perdana Menteri, NajibRazak, com, ekonomi, 2016

Artikel Lain