suria

Bauksit: Hari Pertama Moratorium Beri Harapan Baharu Kepada Warga Kuantan

Beberapa buah lori telah diletakkan di tepi jalan dan tidak lagi beroperasi setelah Kerajaan mengumumkan Moratarium selama tiga bulan bermula 15 Januari.

KUANTAN: Setelah lebih dua tahun bergelumang dengan debu bauksit akhirnya penduduk Kuantan boleh bernafas dengan selesa apabila moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan mineral berkenaan selama tiga bulan, bermula Jumaat.

Tinjauan Bernama di kawasan yang sebelum ini terjejas teruk oleh perlombongan bauksit termasuk di sekitar Pelabuhan Kuantan, kawasan perindustrian Gebeng, Kampung Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan kembali 'aman' tanpa kelihatan aktiviti perlombongan dan lori bauksit.

Aktiviti pembersihan juga giat dijalankan oleh pihak terlibat termasuk Majlis Perbandaran Kuantan dan bomba di beberapa kawasan antaranya Jalan Sungai Lembing menuju ke Felda Kampung Bukit Goh.

Anggota penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut ditempatkan di kawasan laluan lori bauksit termasuk di Bandar Damansara Kuantan, Jalan Bukit Kuantan dan Gebeng.

Sementara itu Bernama mendapati masyarakat setempat mempunyai pelbagai pandangan pada hari pertama perlaksanaan moratorium berkenaan.

Penduduk Kampung Felda Bukit Goh Harith Zulkarnain, 33, berkata dia berasa lega akhirnya aktiviti bauksit yamg selama ini merimaskan penduduk kampung telah dihentikan.

"Sepanjang dua tahun ini, debu bauksit memang teruk sampai apabila waktu hujan air merah mengalir ke kawasan rumah.

"Sejak pelaksanaan moratorium itu kurangnya kes kemalangan berpunca sikap pemandu lori bauksit yang memandu dengan berbahaya tanpa memikirkan keselamatan penduduk," katanya.

Harith turut melahirkan kekesalannya kerana baru sekarang isu ini mendapat perhatian pemimpin dan penguatkuasa sedangkan ia patut diselesaikan ketika masalah bauksit ini masih di peringkat permulaan.

Penduduk Kampung Balok Makmur, Adi Wahab, 35, mengibaratkan pelaksanaan moratorium seolah-olah 'sudah terantuk baru tengadah.

Katanya tiada lagi harapan untuk Kuantan pulih dan kembali seperti sedia kala memandang kemusnahan alam yang ditinggalkan begitu besar.

"Sekarang saya tak tahu nak gembira ke tidak dengan moratorium ini.

Kemusnahan sudah terjadi kalau nak ambil apa-apa tindakan pun tiada gunanya lagi," katanya.

Peniaga warung di Taman Sungai Karang Maju di sini, Zaharudin Abdullah Tahir, 39, berbelah bahagi mengenai pandangannya terhadap pelaksanaan moratorium. 

Katanya sebelum aktiviti bauksit bermula perniagaannya sangat maju dengan kedatangan pelanggan tetap terdiri daripada para guru, dan pekerja dari sekolah dan pejabat berdekatan.

Namun pelanggan tidak lagi ingin ke kedainya yang terletak di tepi jalan laluan lori bauksit kerana diselaputi debu.

"Selepas itu hanya pemandu lori bauksit menjadi pelanggan tetap saya. Kini moratorium telah dilaksana tiada lagi pemandu lori bauksit datang ke kedai. 

Zaharudin turut berpendapat tempoh moratorium selama tiga bulan terlalu singkat untuk memulihkan kawasan-kawasan yang telah dicemari bauksit lebih dua tahun.-- Bernama


bauksit, moratorium, Kuantan, Bukit Goh

Artikel Lain