Kembalikan Uda Untuk Pantau Agenda Pemilikan Rumah Bumiputera - MPM - Semasa | mStar

Kembalikan Uda Untuk Pantau Agenda Pemilikan Rumah Bumiputera - MPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan kembali badan pemantau perumahan di kawasan bandar seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) suatu ketika dulu.

Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hasan Mad berkata, keadaan itu dirasakan perlu ekoran masalah pemilikan perumahan oleh orang Melayu di bandar semakin meruncing ekoran kenaikan harga rumah secara mendadak.

"UDA diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak, apa salahnya sekiranya kita meneruskan legasi itu sekiranya ia terbukti berkesan dalam melaksanakan agenda Bumiputera di kawasan bandar," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan MPM Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengerusi Biro Integriti Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tan Sri Mohd Zaman Khan.

Dr Hasan berkata, cadangan itu sejajar dengan teguran Sultan Perak Sultan Nazrin Shah baru-baru ini mengenai tindakan pemaju hartanah yang lebih berminat membina rumah mahal demi keuntungan semata-mata.

Pada 11 Januari lepas, Sultan Nazrin bertitah, istilah rumah 'mampu lihat' dan bukan 'mampu milik' semakin disuarakan oleh rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera.-- Bernama

UDA , MPM , Hasan Mad , Zaman Khan

Artikel Sebelum

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil