suria

Penerangan Implikasi TPPA 'Sidang Kemuncak TPPA 2016' Kurang Tepat - Abdul Wahid

Abdul Wahid Omar.

SHAH ALAM: Penerangan berhubung implikasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dihujahkan dalam Sidang Kemuncak TPPA 2016 anjuran badan bukan kerajaan di sini, Sabtu, disifatkan sebagai kurang tepat.

Perkara itu dinyatakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang turut hadir pada persidangan tersebut namun tidak diberi ruang untuk memberi penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan oleh ahli panel.

"Saya harap dapat diberi peluang untuk berucap sedikit tadi tapi penganjur kata kesuntukan masa bagaimanapun kita hormati perkara itu, mungkin ada peluang pada lain hari," katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan tersebut di sini.

Antara isu yang dibangkitkan pada persidangan itu adalah kedaulatan negara terjejas sekiranya TPPA dipersetujui, peluang kerajaan negeri membuat keputusan berhubung pertukaran tanah menjadi terhad serta kenaikan kos ubat-ubatan.

Abdul Wahid berkata, maklumat mengenai kesan TPPA kepada ekonomi negara yang dibahaskan dalam persidangan itu sebenarnya lebih menjurus kepada kegusaran dan kebimbangan semata-mata tanpa memperhalusi kebaikan yang mampu dikecapi jika ia terlaksana kelak.

Menurutnya, seandainya Malaysia memutuskan untuk tidak menyertai perjanjian tersebut dengan segera, peluang untuk berunding bagi menyenaraikan terma-terma yang memberi lebih manfaat kepada rakyat dan negara akan tertutup.

"Sebagai negara pertama sertai TPPA berbanding 12 lagi negara lain, kita ada peluang untuk tentukan terma-terma yang beri manfaat kepada kita supaya perjanjian itu lebih seimbang. Contohnya, konsep Bumiputera telah diambil kira malah diiktiraf dalam TPPA," katanya.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus mengadakan pelbagai sesi taklimat di seluruh negara bagi memberi pencerahan kepada rakyat mengenai kandungan serta implikasi TPPA. 

Empat ahli panel Sidang Kemuncak TPPA 2016 itu terdiri daripada Pengarah 'Third World Network', Chee Yoke Ling; pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Gurdial Singh Nijar; Pengerusi Bantah TPPA Mohd Nizam Mahshar; dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menghadiri persidangan tersebut. - Bernama

TPPA

Artikel Sebelum

Artikel Lain