suria

Ubahsuai Bajet: Insentif Pekebun, Nelayan Kecil Tidak Akan Terjejas

KUALA LUMPUR: Insentif bagi pekebun dan nelayan kecil tidak akan terjejas sekiranya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terlibat dalam pengubahsuaian Bajet 2016 oleh kerajaan, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, insentif berkenaan akan dipertahankan bagi memastikan golongan petani dan nelayan berpendapatan rendah tidak lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

"(Pengubahsuaian bajet) adalah perkara yang kita harus bersedia dengannya.

Apabila Bajet dibuat, ia berasaskan kepada keupayaan negara, berdasarkan pendapatan-pendapatan tertentu.

"Ia termasuk anggaran harga minyak mentah dunia yang pada masa tersebut sekitar AS$48 dolar setong. Tetapi, harga minyak sekarang jatuh di bawah paras AS$40 dolar setong, mengakibatkan pendapatan negara berkurang," kata beliau kepada pemberita selepas majlis tandatangan perjanjian persefahaman di antara Agrobank dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini, Jumaat.

Beliau berkata bagi perkara-perkara asas yang berkaitan dengan kepentingan rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah seperti subsidi, ia tidak boleh dikompromikan.

"Sekiranya terdapat pemotongan (untuk pengubahsuaian bajet), ia mungkin perkara-perkara yang lain, yang tidak menjadi keutamaan buat masa sekarang. Ini (insentif bagi petani dan nelayan kecil) adalah perkara yang terakhir yang akan kita korbankan, jika perlu.

Buat masa ini, Shabery berkata terdapat beberapa insentif yang diberikan kepada petani dan nelayan seperti bantuan subsidi harga benih padi, baja dan racun bagi penanam padi.

"Perkara seperti ini tidak boleh dikompromikan kerana ia berkaitan dengan kehidupan rakyat, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan pengeluaran beras, ia amat sensitif. Kita harus mencari jalan untuk memenuhi tuntutan asas rakyat.

"Kita juga mempunyai insentif untuk nelayan, di mana lebih 50,000 nelayan hari ini menerima elaun sara hidup sebanyak RM300 yang juga tidak akan disentuh sekiranya kementerian terlibat dengan semakan semula Bajet 2016," katanya.

Beliau turut menyeru pihak kementerian, badan-badan swasta dan institusi kewangan untuk menjadi lebih kreatif dalam mengharungi suasana ekonomi yang mencabar hari ini.

Beliau berkata berkata badan-badan swasta harus memainkan peranan untuk meningkatkan permintaan domestik terhadap produk-produk tempatan yang dihasilkan bagi merancakkan ekonomi.

-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain