suria

Jabatan Kesihatan Kedah Diarah Siasat Kes Bayi Tertukar - Exco

Wanita yang dikenali sebagai Mahani Zakaria mendakwa petugas sebuah hospital swasta di Jitra tertukar bayinya dengan bayi lain.

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri diarah menyiasat termasuk memantau rekod dan prosedur operasi di pusat perubatan swasta di Jitra, bagi mengelak kes tertukar bayi berulang.

Exco Kesihatan negeri Datuk Dr Leong Yong Kong berkata walaupun isu itu sudah selesai setelah ibu bapa sebenar menukar kembali bayi masing-masing, namun, ia masalah serius kerana berkaitan dengan kesahihan identiti bayi yang dilahirkan.

Beliau berkata ia dikhuatiri akan menimbulkan keraguan kepada orang awam yang ingin ke pusat perubatan tersebut sama ada untuk bersalin atau mendapatkan rawatan.

"Kalau mereka lepas tangan, itu tidak bagus sebab ini berkait dengan kecuaian di pusat perubatan. Walaupun mereka sudah meminta maaf, namun sesuatu tindakan perlu diambil.

"Jadi, kita akan buat siasatan awal dan selepas itu, kita akan tengok apa peranan dan bidang kuasa yang boleh kita mainkan dalam hal ini sebelum mengambil apa-apa tindakan," katanya kepada Bernama, Jumaat. 

Dalam kejadian Selasa lalu, sepasang suami isteri terkejut apabila menerima panggilan daripada pusat perubatan swasta memaklumkan bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan anak orang lain. 

Bayi yang merupakan anak kelima pasangan tersebut, dilahirkan pada pukul 4.04 petang Selasa lepas dan hanya dimaklumkan mengenai kesilapan tersebut lima jam selepas membawa bayi berkenaan balik ke rumah. 

Ibu bayi tersebut kemudian dimasukkan semula ke pusat perubatan itu bagi tujuan pengambilan sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Norhizan Ismail berkata pihaknya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa satu kenyataan khas berhubung isu tersebut akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan dalam masa terdekat. -- Bernama


Dr Leong Yong Kong, kedah, bayi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Melaka Tahan 'Bonda Ratu'

Artikel Lain