suria

Bauksit: Pahang Perkenal Peraturan Lebih Ketat - MB

BENTONG: Kerajaan Negeri Pahang akan memperkenalkan peraturan baharu yang lebih ketat dalam perlombongan bauksit bagui memastikan aktiviti tersebut tidak lagi mendatangkan masalah atau mencemarkan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata peraturan baharu itu akan digubal hasil perbincangan dengan pihak dan agensi penguatkuasaan berkaitan isu bauksit.

Menurutnya agensi yang terlibat termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Kita juga minta saintis yang faham dengan keadaan ini untuk tampil memberikan cadangan. Saya minta semua bersabar kerana perkara ini melibatkan banyak aspek seperti lokasi, pengangkutan dan pelabuhan.

"Kita mencari jalan penyelesaian terbaik bagi semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1437H/2016M Peringkat Daerah Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, Jumaat.

Adnan menjelaskan bahawa beliau tidak berdiam diri dalam permasalahan bauksit malah mengambil pendekatan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan agar tidak mengeruhkan keadaan.

Katanya untuk waktu ini, tumpuan kerajaan negeri adalah untuk membersihkan Pelabuhan Kuantan dalam tempoh seminggu bermula 15 Jan, iaitu hari tempoh moratorium perlombongan bauksit selama tiga bulan bermula.

Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti dua tempat yang akan dijadikan pusat pengumpulan setempat, katanya.

Mengulas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa berlaku ketirisan dalam royalti yang dianggarkan berjumlah lima kali ganda daripada RM47 juta yang dikutip pada 2015, Adnan berkata beliau akan berjumpa dengan pihak terlibat dengan kutipan royalti.

Beliau menegaskan tidak mahu berada dalam penafian atau menudingkan jari kepada mana-mana pihak dalam isu ini, sebaliknya melihat adalah penting untuk perkara ini diselesaikan agar tidak berulang.

"Kutipan cukai bahan mineral melibatkan banyak pihak iaitu PTG, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kastam dan pelabuhan. Semua (pengiraan) agensi ini kena selaras dan sepadan dan paling besar adalah pelabuhan kerana mereka tahu berapa muatan baukist yang dinaikkan ke atas kapal.

"Saya kira semula dan sepatutnya kita boleh mendapat (royalti) sekurang-kurangnya RM180 juta. Ini yang kita kena siasat semula, jadi empat agensi ini kena duduk bersama supaya tidak berlaku ketirisan," katanya. -- Bernama

bauksit, Pahang, PTG, JAS, Adnan Yaakob

Artikel Lain