suria

Perkhidmatan MASwings Kuching-Pontianak-Kuching Digantung Pada 1 Februari

KUCHING: MASwings akan menggantung perkhidmatan tiga kali seminggu antara Kuching dan Pontianak di Indonesia pada 1 Februari ini.

Syarikat penerbangan itu berkata penggantungan itu merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi rangkaian bagi menumpukan perhatian terhadap pasaran utamanya iaitu laluan domestik yang semakin meningkat.

Penerbangan terakhir ke Pontianak adalah pada 30 Jan ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Syarikat itu berkata kesemua penumpang yang terjejas telah dimaklumkan menerusi e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon serta mereka diberi pilihan sama ada menukar tarikh perjalanan ke tarikh lebih awal bergantung kepada kekosongan tempat duduk, ataupun diberi bayaran balik sepenuhnya.

MASwings turut kesal dengan kesulitan yang berlaku dan memberi jaminan bahawa semua tempahan pada tarikh yang terjejas akan dipenuhi.

Pelanggan boleh ke pejabat tiket MASwings, hubungi ejen pelancongan mereka atau pusat panggilan 24 jam Malaysia Airlines di 1300 88 3000 (dalam Malaysia) dan +6 03 7843 3000 (luar Malaysia) ataupun +561 6726845 untuk pejabat di Pontianak. -- Bernama

MASwing, Pontianak, Kuching

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain