suria

Bauksit: Penduduk Kuantan Tak Minta Pampasan - Adnan

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegaskan, tiada pampasan yang dituntut penduduk di Kuantan berhubung masalah kesihatan dan alam sekitar berikutan aktiviti perlombongan bauksit di ibu negeri Pahang itu.

Adnan yang ditanya mengenai cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya kerajaan Pahang memberi pampasan kepada penduduk dan nelayan terlibat berkata, hal berkenaan tidak berlaku.

Malahan Adnan menyindir CAP yang menyuarakan hal rakyat di Pahang, sedangkan isu bauksit tidak berlaku di Pulau Pinang.

"Bauksit bukan ada di Pulau Pinang, tetapi di Pahang, rakyat Kuantan tidak minta (pampasan). Hendak minta (pampasan) apa benda?

"Awak tahu, ada rakyat yang minta bauksit diteruskan. Saya sebagai menteri besar (saya tahu rakyat saya), kena contohi Raja, dekat dengan rakyat," katanya pada sidang media khas berkaitan operasi bauksit.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ditanya mengenai kes kematian susulan kegiatan perlombongan bauksit, Adnan berkata: "Saya tahu apa yang saya hendak buat."

Bulan lalu, kes kemalangan membabitkan lori dengan muatan bauksit bertembung kereta hingga menyebabkan kematian pemandunya yang juga guru wanita.

Menerusi sidang media berkenaan, Wan Junaidi memaklumkan keputusan Kabinet supaya semua aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan dihentikan sementara selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.

Ditanya mengapa arahan tersebut tidak dikuatkuasakan serta-merta, Adnan berkata, kerajaan perlu memberi masa kepada pengusaha untuk mengambil tindakan susulan.

"Pendekatan kita adalah secara baik, bukannya terlalu keras. Mereka (pengusaha) perlu membuat persiapan termasuk membersihkan lori-lori.

"Kita tidak boleh beri tempoh (mula) esok. Kita bukan negara yang diktator. Negara kita dipimpin oleh perdana menteri," katanya.

Dalam pada itu, Adnan meminta rakyat di negeri itu terutama di Kuantan supaya tenang berhadapan masalah akibat aktiviti perlombongan bauksit.

Menteri Besar Pahang itu berkata, kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan sedang berusaha untuk menangani masalah itu.

"Kita bukan dalam sindrom penafian. Kita berusaha untuk memastikan kebajikan rakyat diutamakan," katanya.


Adnan Yaakob, CAP, bauksit

Artikel Lain