suria

Tiada Kaitan Antara Jualan Pegangan Bandar Malaysia Dan Kelulusan Projek HSR - 1MDB

KUALA LUMPUR: Jualan ekuiti projek Bandar Malaysia kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH)-China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd (CREC) tidak mempunyai kaitan dengan kelulusan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang akan dibuat, demikian menurut 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut 1MDB, walaupun Bandar Malaysia ditetapkan sebagai lokasi perhentian terakhir projek HSR, jualan ekuiti di Bandar Malaysia tidak ada kaitan dengan  pemberian kelulusan projek HSR, atau 1MDB atau kerajaan Malaysia mempunyai representasi atau perjanjian membabitkannya.

"1MDB dan konsortium itu, kedua-duanya, mengesahkan HSR merupakan projek yang sama sekali berasingan," menurut 1MDB dalam satu kenyataan, Rabu.

Menurutnya, pemberian kelulusan projek HSR akan ditentukan secara bersama-sama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura, mengikut setiap proses berasingan.

Proses berkenaan tidak akan dikaitkan atau boleh bergantung, dalam apa cara sekali pun, kepada jualan ekuiti 1MDB di projek Bandar Malaysia, menurutnya.

Minggu lepas, 1MDB menandatangani perjanjian jual beli saham dengan konsortium IWH-CREC untuk menjual 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia bagi RM7.41 bilion.

1MDB, Bandar Malaysia, HSR

Artikel Lain