suria

PAS Kelantan Tak Akan Kerjasama Dengan Amanah Dalam PRU Akan Datang

Datuk Mohd Amar Abdullah
KOTA BHARU: PAS tidak akan mengorbankan prinsipnya dengan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun terpaksa kehilangan kerusi di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pintu telah ditutup untuk sebarang kerjasama antara PAS dan Amanah, dan oleh itu, tidak ada persoalan kerajaan campuran dibentuk.

"Pendirian kami jelas dan selaras dengan jawatankuasa pusat peringkat kebangsaan bahawa kita tiada apa-apa kaitan dengan Amanah. Sekiranya mereka membuat keputusan untuk bertanding di Kelantan, tidak mengapalah.

"Tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa sekiranya Amanah bertanding di Kelantan, Barisan Nasional akan mendapat manfaat daripadanya kerana undi akan berpecah tiga," kata timbalan menteri besar itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini Rabu.


Beliau ditanya mengenai kemungkinan Amanah Kelantan dan PAS Kelantan akan bekerjasama untuk menafikan kemenangan BN di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Mohd Amar, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno Kelantan untuk memastikan Amanah tidak bertapak di negeri ini.

"Tidak ada yang mustahil dalam politik tetapi kita belum mencapai tahap itu, membincangkan tentang kemungkinan itu," katanya.

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah baru-baru berkata bahawa parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Artikel Berikut

Artikel Lain