suria

Aktiviti Lombong Bauksit Dihenti Tiga Bulan - Wan Junaidi

Kawasan stok penyimpanan bauksit yang terletak di kawasan Pelabuhan Kuantan dan perkampungan Sungai Pengorak disyaki menjadi punca insiden air laut menjadi merah di sepanjang pesisir pantai dari Sungai Pengorak hingga Pantai Batu Hitam selepas hujan lebat baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan semua aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang akan dihentikan sementara selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan itu bagi membolehkan pengusaha menguruskan lambakan simpanan bauksit bagi mengelakkan masalah kesihatan dan pencemaran terus berleluasa di kawasan berkenaan.

"Kita arahkan semua pengusaha untuk mengeluarkan 'stockpile' ke pusat pengumpulan utama.

"Bagaimanapun, tempat berpusat itu masih belum ditetapkan dan akan diputuskan kemudian," katanya pada sidang media khas mengenai operasi bauksit di Pahang di sini, Rabu.

Turut hadir dalam sidang media ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Wan Junaidi berkata, pembersihan lambakan simpanan bauksit itu akan dilakukan di Pelabuhan Kuantan dan 11 kawasan lain.

Tambahnya, kerajaan akan menambahbaik peraturan dan syarat-syarat perlombongan bauksit bagi memastikan aktiviti berkenaan lebih terkawal.

"Jika pengusaha tidak mematuhi peraturan dan syarat-syarat tersebut, AP (permit kelulusan) tidak akan dikeluarkan.

"Pengeluaran AP dihadkan berdasarkan kapasiti pelabuhan untuk menyimpan bauksit," katanya.

Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, agensi penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu bertanggungjawab mengawal pergerakan lori yang membawa bauksit bagi menangani masalah pencemaran habuk dan debu.

Wan Junaidi yakin selepas tempoh tiga bulan itu akan menyaksikan simpanan bauksit yang terhad.

"Kedua, kekotoran di sungai dapat dikurangkan. Begitu juga dengan debu-debu akan berkurangan.

"Pergerakan lori juga akan berkurangan dan tidak akan berlaku kesesakan di pelabuhan," katanya.

Isu bauksit telah lama membelenggu penduduk di sekitar Kuantan dari segi masalah kesihatan dan alam sekitar ekoran pencemaran habuk bauksit, dan yang terbaharu apabila didakwa turut menyebabkan air laut bertukar menjadi merah di Pantai Batu Hitam.




Artikel Sebelum

Artikel Lain