suria

Kesalahan Buku Teks Disiasat

PETALING JAYA: Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menyiasat mengenai kesilapan yang berlaku dalam buku teks Sejarah Tahun Enam untuk kegunaan sekolah kebangsaan tahun ini.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan berkata, lebih 400,000 naskhah buku teks terpaksa dicetak semula.

"Sesebuah buku teks akan melalui jabatan-jabatan yang berbeza sebelum produk akhir dihantar kepada Kementerian Pelajaran untuk kelulusan. Ia kemudian dicetak dan diedarkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Dr Awang berkata proses percetakan semula buku teks berkenaan akan menelan kos sebanyak RM3 juta.

Sebelum ini kesilapan dalam buku teks Sejarah Tahun Enam seperti yang ditonjolkan di media sosial menunjukkan kedudukan Melaka dalam peta Malaysia diletakkan di kawasan pantai timur iaitu bahagian atas Terengganu.

DBP menerusi kenyataan pada hari Isnin berkata bahawa Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif untuk mengkaji semula kandungan keseluruhan buku teks Sejarah Tahun Enam.

DBP turut memberi jaminan buku cetakan semula bagi teks itu dijangka diedarkan ke sekolah selewat-lewatnya pada 31 Januari 2016.

Manakala bagi pasaran terbuka pula, ia dijangka boleh didapati di kedai buku khususnya koperasi DBP bermula 15 Januari bagi SK dan 20 Januari bagi SJK.

Sejarah Tahun Enam, Buku Teks, DBP

Artikel Berikut

Artikel Lain