suria

Indira Gandhi Akan Bawa Kes Ke Mahkamah Persekutuan

Indira Gandhi
PETALING JAYA: Guru Tadika M. Indira Gandhi akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai keputusan majoriti yang memutuskan bahawa isu-isu mengenai penukaran agama Islam adalah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

"Kami akan merayu. Pasukan peguam semuanya membantu dan terlibat. Kami perlu memfailkan rayuan dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang atau lebih awal," kata peguam Indira, M. Kulasegaran.

Berdasarkan keputusan majoriti 2-1, panel Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh tiga anggota pada 30 Disember tahun lalu menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan sijil penukaran agama tiga orang anak Indira Gandhi.

Bekas suami guru tadika itu, seorang mualaf K. Pathmanathan menukarkan agama ketiga-tiga orang kanak-kanak tersebut ketika mereka masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan pada April 2009 selepas dia (Pathmanathan) memeluk Islam.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu sekarang masing-masing berusia 18, 17 dan tujuh tahun.

Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid bersetuju dengan Hakim Balia manakala Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer mempunyai pendapat yang bertentangan.

Hakim Balia berkata dalam kes Siti Hasnah Vangarama yang juga membabitkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam, Mahkamah Persekutuan pada 2014 memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan sama ada seorang menganuti agama Islam atau tidak dan menentukan kesahihan penukaran agama tersebut.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh mengisytiharkan bahawa penukaran agama tiga orang kanak-kanak adalah batal dan tidak sah merupakan satu pelanggaran Seksyen 50 (3) (b) (x) Enakmen Perak yang menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah di bawah bidang kuasa sivil, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding semua pihak berkaitan perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi Islam dan pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu beragama Islam.

Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam menangani perkara tersebut untuk beliau memutuskan mengenai kesahihan proses penukaran agama dan mentafsir peruntukan mengenai kebebasan asas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Balia berkata perkara utama dalam saman sivil itu adalah jelas di luar kompetensi perundangan Mahkamah Tinggi, dan menambah bahawa Mahkamah Tinggi telah terlepas pandang dan gagal mengambil kira peruntukan Seksyen 101 Enakmen Perak yang mengisytiharkan sijil penukaran menjadi bukti muktamad fakta yang dinyatakan dalam sijil.

Beliau berkata sijil penukaran agama kanak-kanak tersebut bertajuk 'Perakuan Memeluk Islam' yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak menunjukkan bahawa isu penukaran agama telah ditangani dan orang yang dinamakan dalam dokumen telah didaftarkan dalam Daftar Mualaf.

"Pandangan oleh responden (Indira Gandhi) bahawa tindakan Pendaftar Mualaf mengeluarkan sijil penukaran agama adalah berupa satu tindakan pentadbiran dan dengan itu membolehkan semakan kehakiman dibuat.

"Pada pandangan kami, jika tiada apa-apa keterangan yang bertentangan dan ketiadaan apa-apa cabaran kepada perakuan tersebut yang perlu dilakukan atau diambil di Mahkamah Syariah, sijil tersebut tetap baik," kata Hakim Balia.
Indira Gandhi, tukar agama

Artikel Lain