suria

17 Ahli Majlis Baharu Dilantik Bagi PBT P.Pinang

GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang pada Rabu mengumumkan pelantikan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2016.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata daripada 48 Ahli Majlis berkenaan, 17 adalah pelantikan baharu terdiri daripada anggota DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pada pagi ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan pelantikan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan untuk negeri ini bagi tahun 2016 mengikut Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata majlis angkat sumpah terima jawatan bagi Ahli Majlis MBPP akan diadakan esok manakala Ahli Majlis MPSP pada Jumaat ini.

Dalam pada itu, Chow berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut meluluskan kenaikan kadar elaun tetap Ahli Majlis dari RM1,500 kepada RM2,500  berkuat kuasa 1 Januari.

"Bagi elaun-elaun lain dikekalkan iaitu elaun kehadiran mesyuarat masih RM100 dan maksimum 12 kali sebulan. Elaun telefon juga kekal RM300. Jadi dengan kenaikan ini, maksimum yang boleh dituntut adalah RM4,000," katanya.
MBPP, MPSP, Ahli Majlis

Artikel Lain