suria

Mayat Seorang Remaja Lemas Di Pantai Desaru Dijumpai

J. Moventhen

JOHOR BARU: Mayat seorang daripada dua remaja lelaki yang dipercayai lemas di Pantai Awam Desaru, Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi semalam ditemui pada pukul 10.40 pagi Ahad.

Ketua Balai Bomba Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata mayat itu ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

"Mayat J.Moventhan, 15, dilihat terapung kira-kira 150 meter dari pantai dan anggota bomba dapat membawanya ke pantai untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Mohd Fadli berkata seorang lagi mangsa, N. Harishwaran, 15, bagaimanapun masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat dua remaja itu ditangguhkan lewat malam tadi atas faktor keselamatan dan disambung semula pada pukul 7.40 pagi ini.

Bagaimanapun, Mohd Fadli berkata keadaan laut bergelora hingga mengakibatkan ombak setinggi tiga meter hari ini menyukarkan pencarian menggunakan bot penyelamat di perairan itu dan operasi hanya tertumpu di sekitar pesisiran pantai.

Seramai 17 anggota bomba, lima polis bantuan, enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan dua polis marin terlibat dalam operasi itu hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi semalam, kedua-dua mangsa ke pantai berkenaan bersama lapan rakan mereka dengan menaiki basikal.

Tidak lama selepas mereka mandi di situ,hujan serta angin mula melanda menyebabkan ombak semakin tinggi dan lapan daripada mereka berjaya berenang ke pantai.

Moventhan yang berasal dari Skudai dan Harishwaran berasal dari Taman Bukit Indah, di sini bagaimanapun didapati hilang dan saksi menyatakan kedua-dua remaja itu dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam.

Lemas, Pantai Desaru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain