suria

Bapa Sanggup Ambil Cuti Teman Anak Ke Sekolah

Adik Adam Danial Abdullah, 7, memeluk dan tidak mahu melepaskan ibunya sebelum memasuki kelas pada hari pertama sesi persekolahan 2016 di Sekolah Kebangsaan Gerigih dekat Alor Setar.-fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang juga kakitangan Petronas di Melaka sanggup mengambil cuti untuk menghantar sendiri anak sulungnya yang mula memasuki alam persekolahan pada Ahad.

Bagi Mohd Khairi Alias, 31, beliau sanggup mengambil cuti bagi menemani anaknya yang memasuki Tahun Satu kerana ia memberikan keseronokan kepadanya melihat sendiri anaknya memasuki alam baru.

"Perasaan itu susah nak digambarkan sebab sebelum ini hanya melihat anak orang lain ke sekolah... hari ini saya sendiri hantar dia ke sekolah dan melihat gelagatnya di sekolah.

"Anak sulung saya tidak sabar untuk ke sekolah berjumpa kawan baharu, merasai sendiri suasana alam persekolahan kerana ia berbeza daripada tadika," katanya ketika ditemui Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Kuala Ibai, dekat sini hari ini.

Mohd Khairi berkata walaupun tinggal berjauhan dengan anaknya, beliau tetap berkesempatan membeli keperluan persekolahan bersama anaknya kerana ia dilakukan lebih awal bagi mengelak kesesakan pembelian pada saat-saat akhir.

Seorang suri rumah, Roziana Bakar, 38, berkata walaupun bukan pertama kali menghantar anak ke sekolah, beliau tetap teruja menemani anak keduanya memasuki Tahun Satu.

"Saya sedikit lega sebab anak saya tidak banyak ragam ketika mahu ke sekolah hari ini sebab dia telah menjalani sesi orientasi yang dijalankan sekolah sebelum ini.

"Dia juga pernah mengikuti kelas tadika selama dua tahun. Walaupun ini bukan kali pertama, saya tetap teruja menghantar anak ke sekolah...seawal 6.30 pagi anak lelaki saya ini bangun untuk ke sekolah dan teruja memakai pakaian serba baharu," katanya.

Sesi persekolahan 2016 bagi Terengganu dan tiga negeri lain iaitu Kedah, Kelantan dan Johor bermula hari ini.

Seramai 18,535 murid Tahun Satu hari ini mula mendaftar di 351 sekolah rendah di seluruh Terengganu untuk sesi persekolahan tahun ini.

Sesi Persekolahan 2016

Artikel Lain