suria

Peniaga Vape Di Johor Mula Tutup Perniagaan

Salah sebuah kedai yang mengusahakan rokok elektronik atau vape di Johor kelihatan kosong berikutan pengharaman vape berkuatkuasa 1 Januari 2016. Foto: Bernama

JOHOR BAHARU: Menjelang berkuatkuasanya pengharaman penjualan barangan vape di negeri ini esok, rata-rata para pengusaha barangan itu akur dengan keputusan tersebut dan sudah mula menutup perniagaan masing-masing.

Tinjauan BERNAMA di sekitar bandar raya ini, mendapati majoriti kedai menjual cecair dan peralatan vape sudah mula ditutup, namun ada segelintir pengusaha masih membuka perniagaan sehingga pukul 12.00 malam Khamis.

Salah seorang peniaga vape yang hanya mahu dikenali sebagai Miss S berkata, pihaknya sudah mula menutup perniagaan dalam masa seminggu selepas mendapat tahu titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengharamkan vape di negeri ini.

"Setelah mendapat tahu tentang larangan itu saya sudah mula perlahan-lahan menjual barangan vape ini. Saya sudah tutup awal dari tarikh yang ditetapkan,"katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Miss S berkata beliau tidak membuat penjualan potongan harga untuk menghabiskan stok kerana ia dipulangkan semula kepada pengeluar selain dihantar kepada rakan kongsi di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, saya tetap menanggung kerugian kerana ada stok barangan vapeyang tidak boleh dikembalikan kepada stokis," katanya yang memulakan perniagaan kurang dari setahun lalu. 

Sementara itu seorang lagi pengusaha vape yang mahu dikenali sebagai SS yang memulakan perniagaan sejak tujuh bulan lalu berkata beliau bersama rakannya masih meneruskan penjualan barangan vape ke saat akhir sehingga tengah malam ini.

"Kami menjual barangan vape ini dengan harga biasa sahaja, tidak ada diskaun besar-besaran ditawarkan, sebab selepas malam ini, semua stok yang tidak habis dijual akan dihantar kepada rakan kongsi kami di Kuala Lumpur," katanya.

Katanya sebelum ini terdapat ramai pengguna vape datang membeli barangan dan peralatan vape di kedai mereka dengan kuantiti yang banyak memandangkan selepas ini tidak ada kedai seumpama itu di negeri ini.

"Kedai kami masih dibuka seperti biasa sehingga tengah malam ini untuk penjualan barangan vape seperti jus dan mode, tank dan sebagainya," katanya.

SS berkata ketika mendapat tahu larangan penjualan vape, beliau bersamarakan kongsinya dalam proses ubah suai kedai yang menelan perbelanjaan sebanyak RM40,000.

"Oleh itu kami tidak akan tutup kedai ini terus, selepas ini kami akan menjual peralatan sukan, aksesori serta minyak wangi," kata pengusaha muda berusia 28 tahun itu.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah supaya mengharamkan penjualan vape di negeri ini bermula 1 Jan 2016, negeri pertama yang berbuat demikian. 

Peniaga vape Johor

Artikel Berikut

Artikel Lain