suria

Bandar Malaysia Masih Projek Malaysia - 1MDB

Arul Kanda Kandasamy

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad menegaskan Bandar Malaysia Sdn Bhd 'ialah projek Malaysia' walaupun 24 peratus kepentingannya dimiliki oleh China Railway Engineering Corporation (M)Sdn Bhd (CREC).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamy berkata, rakyat Malaysia masih memiliki 76 peratus dalam projek itu. 

Beliau berkata sebanyak 54 peratus Bandar Malaysia dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sementara sektor swasta termasuk kepentingan Malaysia, memegang baki selebihnya. 

"Justeru itu, penjualan kepentingan Bandar Malaysia kepada IWH-CREC Consortium bukanlah penjualan kepada syarikat China," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Perjanjian penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada konsortium terdiri daripada Iskandar  Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan CREC dimeterai hari ini.

Konsortium itu, yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd, merupakan usaha sama 60:40 antara syarikat Malaysia dan syarikat China itu.

IWH merupakan perkongsian  awam-swasta antara Credence Resource SdnBhd dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd milik kerajaan negeri Johor manakala CREC merupakan satu daripada firma kejuruteraan dan pembinaan yang terbesar di dunia.

Arul Kanda berkata konsortium itu telah menyatakan komitmennya untuk menghormati pelan pembangunan asal Bandar Malaysia meliputi 486 ekar (196.68hektar) termasuk menyediakan rumah mampu milik di kawasan tersebut dan membangunkan semula lapangan terbang Sungai Besi.

"Dan daripada semua sudut, kami percaya ia adalah satu perkongsian yang memanfaatkan kedua-dua pihak," kata beliau.

Menurutnya perjanjian itu menandakan pencapaian terakhir dalam pelan rasionalisasi 1MDB.

Pada Jun lepas, 1MDB mengemukakan pelan rasionalisasi hutang tiga bahagian kepada Kabinet termasuk menjual ekuiti dalam syarikat tenaga Edra Global Energy Bhd yang akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak antara RM16 dan RM18 bilion.

Bahagian kedua ialah pertukaran ekuiti hutang dengan dana Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), yang akan mengurangkan hutang 1MDB kira-kira RM16 bilion.

Bahagian ketiga ialah penjualan saham-saham dalam Bandar Malaysia yang nilai tanahnya ialah RM12.35 bilion.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain