suria

Rumah Bekas Ketua Menteri P.Pinang Cuba Dipecah Masuk

GEORGE TOWN: Apartmen kediaman bekas Ketua Menteri Pulau Pinang di Pulau Tikus di sini cuba dipecah masuk selepas tingkap di tingkat bawah didapati telah terbuka dan terdapat kesan umpil pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata kejadian itu disedari pembantu rumah mangsa pada pukul 9 pagi dan memaklumkan kepada isteri bekas ketua menteri berkenaan sebelum mereka membuat pemeriksaan.   

Katanya pemeriksaan di kawasan tingkap itu menemui beberapa kesan umpil dan jaring nyamuk di pintu geriji rumah jenis apartmen mewah tiga tingkat berkenaan juga telah terbuka.   

"Bagaimanapun tiada sebarang barang dalam rumah yang didiami bekas ketua menteri dan isteri yang bergelar Tan Sri serta Puan Sri bersama pembantu rumah itu hilang," katanya pada Khamis.    

Beliau berkata penghuni rumah itu turut memaklumkan tidak mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan di kawasan kediaman mereka.

Mior Faridalathrash berkata berdasarkan keterangan pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan perumahan itu, dia telah ternampak seorang lelaki cuba memecah masuk kediaman bekas ketua menteri berkenaan dengan menggunakan cangkul.   

Katanya suspek yang menyedari kehadiran pengawal keselamatan itu terus melarikan diri dengan memanjat pagar di belakang kediaman mangsa untuk keluar dari kawasan perumahan berkenaan kira-kira pukul 4.30 pagi.   

"Pihak polis memandang serius kejadian berkenaan walaupun tiada kerugian dialami oleh penghuni rumah," katanya.   

Beliau berkata usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan polis juga akan meningkatkan rondaan pencegahan di kawasan berkenaan.  

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 453 Kanun Keseksaan.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain