suria

SPRM Serah Kertas Siasatan SRC, RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara

Mohd Shukri Abdull

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)telah mengemukakan kertas siasatan kes SRC International dan kes RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Khamis.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata badan itu turut mengemukakan beberapa cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes yang melibatkan tiga kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara.

"Justeru itu, SPRM menaruh keyakinan tinggi kepada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk membuat keputusan secara profesional," katanya dalam kenyataan di sini,Khamis.

Bagi kes SRC International, katanya SPRM berpuas hati dengan keterangan daripada lebih 100 saksi.

Pada Rabu, SPRM membentangkan syor dan penemuan siasatan terhadap SRC International kepada panel bebas khas terdiri daripada lima anggota yang mewakili badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara.

"Mereka merupakan pakar dalam bidang undang-undang, perbankan, korporat dan juga bidang siasatan," kata Mohd Shukri.

Lima anggota berkenaan ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Zamani Abdul Ghani, bekas Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dan peguam bela dan peguam cara Datuk Zuraidah Atan.

Beliau berkata anggota panel berkenaan juga telah mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas kepada SPRM. SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata satu kertas siasatan berkaitan kes RM2.6 bilion membabitkan saksi-saksi di dalam negara juga telah selesai sepenuhnya selain memperoleh keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai penderma.

Bagaimanapun, katanya SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara.

Menurutnya dokumen dan keterangan itu hanya boleh diambil melalui proses Bantuan Perundangan Bersama MLA) kerana ia terikat kepada peruntukan undang-undang perbankan di negara berkenaan.

"Proses MLA hanya boleh dikeluarkan dengan persetujuan dan kebenaran Peguam Negara seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau berkata SPRM juga telah membuat permohonan di bawah MLA kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan dokumen dan keterangan itu.

SPRM, 2.6bil, Peguam Negara

Artikel Sebelum

Harga Minyak Turun Pada Januari

Artikel Berikut

Artikel Lain