suria

Jangan Abaikan Sabah, Sarawak Dalam Usaha Kerjasama Umno-PAS - Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR: Umno tidak boleh mengabaikan kebimbangan rakyat Sabah dan Sarawak dalam usaha untuk merapatkan hubungan dengan PAS, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno itu menegaskan bahawa sebahagian rakyat di kedua-dua negeri berkenaan mungkin menyifatkan kerjasama antara Umno dan parti Islam tersebut bukan dalam kepentingan terbaik mereka.

Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, desakan Umno untuk bekerjasama lebih rapat dengan musuh politik tradisinya merupakan satu langkah strategik.

"Berdasarkan keadaan di dalam negara, Umno mungkin membangkitkan isu (kerjasama) kerana kemungkinan parti itu tidak memperoleh sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang," katanya selepas melancarkan tabung kemanusiaan pelajar Melayu Mesir oleh Perkasa pada Selasa.

Cakap-cakap mengenai kerjasama antara Umno dan PAS bertiup kencang selepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan silaturrahim dengan PAS pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015, bulan lalu.

Razaleigh berkata, PAS semakin terpinggir dari sekutunya dalam pakatan sebelum ini iaitu Pakatan Rakyat dan kini hanya mendapat sokongan daripada para penyokongnya yang memberi sokongan secara tradisi sejak dahulu.

Beliau menambah, PAS memerlukan sokongan Umno berhubung cadangan pelaksanaan hudud dan melaksanakannya di Kelantan dan Terengganu.

Razaleigh berkata, langkah tersebut memerlukan pindaan perlembagaan dan hanya boleh dilakukan dengan dua pertiga majoriti di Parlimen.

"Jika kedua-dua parti bekerjasama, mungkin semua ini boleh dilakukan," katanya.

Razaleigh berkata, adalah sukar untuk mengulas mengenai cakap-cakap melibatkan kerjasama Umno dan PAS di Kelantan yang mana mula dibangkitkan buat pertama kali dalam perhimpunan agung parti baru-baru ini.

"Kita tidak tahu sejauh mana kerjasama itu. Ia hanya cadangan daripada Umno yang belum diterima secara rasmi oleh PAS," tambahnya.

Ku Li

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain