suria

Keluarga Harap Anggota Tentera Hilang Di As Ditemui

Keadaan banjir di Missouri, Amerika Syarikat berikutan hujan lebat selama beberapa hari. Kapten Hasman Hussin, dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaikinya dihanyutkan arus banjir di Missouri pada 26 Disember lepas. Foto Reuters

ALOR GAJAH: Keluarga Kapten Hasman Hussin, yang dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaikinya dihanyutkan arus banjir di Missouri, Amerika Syarikat pada 26 Disember lepas, amat berharap agar pegawai Tentera Darat itu dapat ditemui selamat.

Adiknya Mohd Hairi, 29, berkata beliau dan anggota keluarganya sentiasa berdoa agar Hasman, 33, dapat ditemui dengan selamat.

Keluarganya turut mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan anak ketiga daripada enam beradik itu.

"Beliau ke sana (Amerika Syarikat) pada Oktober lepas kerana berkursus, dan kali terakhir berhubung melalui grup WhatsApp keluarga kami pada 26 Disember lepas.

"Kami semuanya terkejut bila dapat tahu perkara ini...kami sekeluarga jadi tidak keruan," katanya kepada pemberita di Masjid Tanah di sini, Selasa malam.

Mohd Hairi berkata, berita kehilangan Hasman amat mengejutkan bapa mereka Hussin Mat, 60, hinggakan beliau tidak dapat berniaga pada Selasa.

Markas Tentera Darat dalam kenyataannya pada Selasa berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan Hasman, yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja.

Beliau bersama-sama empat lagi rakan kolejnya pergi bercuti pada 26 Disember dan kenderaan dinaiki mereka dilaporkan telah dihanyutkan dalam banjir semasa mengharungi laluan di Pulaski County, Missouri.

Hasman sedang mengikuti kursus 'Engineer Captains Career Course' di Fort Leonard Wood, yang bermula dari 1 Oktober hingga 15 April depan.

Mohd Hairi berkata, seorang pegawai kanan Tentera Darat mengunjungi rumah nenek mereka di Masjid Tanah kira-kira 1 tengah hari bagi memaklumkan perkara itu.

"Pihak Tentera Darat beritahu bahawa abang tidak dijumpai, tiada dalam kenderaan itu...pegawai (tentera) akan beritahu kami perkembangan perkara ini daripada semasa ke semasa," katanya.

Isteri Hasman, Siti Hazwani Ahmad, 29, pula berkata beliau berbual dengan suaminya menerusi telefon pada 10 malam, 26 Disember lepas, yang antara lain berpesan kepadanya supaya tidak meninggalkan solat.

"Beliau juga berbual dengan anak sulung saya...beliau ada kata tiada rancangan pergi jalan-jalan cuma nak belajar bagi melengkapkan kursus enam bulan itu. Saya amat berharap beliau ditemui selamat," katanya.

Hasman dan Siti Hazwani mempunyai tiga anak lelaki - yang sulung berusia tiga tahun dan sepasang kembar berusia tiga bulan.

Sementara itu nenek Hasman, Jamaah Ahmad, 79, pula berkata beliau sentiasa berdoa agar cucunya itu dapat ditemui dengan selamat.

"Sebelum ke Amerika Syarikat, beliau beritahu nenek nak ke sana... memang sedih kerana beliau rapat dengan nenek. Nenek mohon pada Allah supaya beliau selamat," katanya. - Bernama

Artikel Lain