suria

Imbasan 2015: IS, Vape, Kubur Besar Cabar Agensi Penguatkuasaan

Kubur besar dipercayai menempatkan 139 warga asing dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui di Bukit Wang Burma, Perlis pada Mei lalu.

PETALING JAYA: Malaysia benar-benar teruji dengan pelbagai peristiwa sepanjang 2015 terutamanya melibatkan isu keselamatan negara yang sekali gus mencabar keupayaan agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa demi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Sama ada pengaruh dalaman atau ancaman luar, kebimbangan itu tidak akan dibiarkan sehingga ia mengakibatkan negara terpalit dengan tragedi berdarah.

Malahan, isu yang melibatkan masyarakat pelbagai peringkat juga menarik perhatian pihak berkuasa keselamatan untuk memastikan ia tidak memberi kesan sampingan terhadap amalan hidup di negara majmuk ini.

Pengaruh militan.

Tahun 2015 dimulakan dengan seorang pengganas yang paling dikehendaki di sebuah negara di Asia Barat tumpas apabila ditahan di Kuala Lumpur pada akhir Januari.

Lelaki itu dikatakan mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti keganasan selain rangkaian pengganas dengan kumpulan militan di negara bergolak.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras aktiviti dan pengaruh keganasan di negara ini.

Pengaruh keganasan yang semakin menular melibatkan kumpulan militan Negara Islam (IS) yang saban hari memenuhi dada-dada akhbar seluruh dunia.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengorak langkah dengan menggerakkan pasukannya dalam membanteras sebarang aktiviti mahupun pengaruh keganasan di negara ini.

Antaranya pada April lalu, polis menerusi Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman menahan 10 suspek yang disyaki terlibat dengan aktiviti militan IS.

Mereka turut disyaki merancang membeli senjata api untuk melancarkan serangan di Malaysia, membantu kemasukan IS ke dalam negara dan merekrut anggota militan.

Ancaman keganasan.

Siri serangan keganasan di Paris pada November lalu sehingga mengorbankan 153 orang dan ramai lagi yang cedera menggemparkan dunia.

Serangan itu ternyata menghantui Malaysia yang ketika itu sedang menanti detik menjelang negara sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-27.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan ujian simulasi mengenai kawalan keselamatan dan trafik di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-27 yang dihadiri pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama. 

Kehadiran beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam acara memungkinkan berlaku keganasan.

PDRM bersiap siaga dengan penambahan anggota bagi memperketatkan kawalan keselamatan sehingga sidang berkenaan berakhir tanpa sebarang insiden keganasan.

Pemerdagangan manusia.

Polis turut membongkar kem penempatan mangsa pemerdagangan di kawasan Bukit Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand pada Mei lalu.

Ia turut dikejutkan dengan penemuan lebih 100 kubur dan banyak kubur besar yang dipercayai milik pendatang asing dari Myanmar dan Bangladesh.

Sebahagian jenazah mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang.

Pada bulan sama, negara digemparkan dengan kehadiran lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Bangladesh dan Myanmar yang mendarat di Pulau Langkawi.

Pasukan beruniform seperti PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan Jabatan Imigresen mengambil langkah berjaga-jaga ekoran maklumat kemungkinan kemasukan lebih ramai pendatang ke negara ini.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut menggerakkan asetnya ke kawasan sempadan bagi menangkis sebarang cubaan Pati menceroboh perairan negara.

Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan lebih 10 individu yang dipercayai anggota sindiket penyeludupan ke atas pendatang yang terdampar di Langkawi.

Tembok sempadan.

Susulan penemuan kubur pendatang dan kem mangsa pemerdagangan, kerajaan merancang untuk membina tembok di sempadan negara yang bertujuan untuk mengekang aktiviti jenayah dan penyeludupan manusia secara lebih berkesan.

September lalu, Malaysia dan Thailand bersetuju membina tembok dan benteng bersama bagi meningkatkan pengawasan antara kedua-dua negara mulai tahun depan.

Sebahagian kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam pada itu, komitmen dan inisiatif kerajaan dalam menangani aktiviti jenayah pemerdagangan manusia diiktiraf AS apabila kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang 2015 berada pada Tahap Dua Pemerhatian.

Laporan yang dikeluarkan melalui Jabatan Negara AS itu merangkumi penilaian terhadap 188 negara dan aspek yang dinilai ialah pencegahan, pendakwaan dan perlindungan.

Kes culik Sabah.

Episod penculikan di Sabah berulang apabila dua warga tempatan, Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Then Ted Fen, 39, diculik kumpulan militan pada Mei lalu.

Then dipenggal kepalanya di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina. Thien bagaimanapun dibebaskan pada 8 November lalu.

Thien Nyuk Fun (kanan) dan Bernard Then.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Filipina memaklumkan ujian DNA mengesahkan kepala yang dijumpai di Jolo, Filipina adalah milik Bernard.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa polis akan memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian Bernard dikenakan tindakan di bawah undang-undang Malaysia.

Polis telah mengemukakan permohonan ekstradisi kepada pihak berkuasa Filipina, susulan penahanan dua suspek dipercayai terbabit dalam menculik dan membunuh Bernard.

Rampasan kapal.

Jun lalu, kapal tangki MT Orkim Harmony dilarikan sekumpulan lanun selama tujuh hari berhampiran perairan Vietnam.

Malah ia ‘disembunyikan’ dengan menukarkan nama kepada Kim Harmon selain beberapa bahagian kapal dicat sebagai taktik mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.

Kapal MT Orkim Harmony 'disembunyikan' dengan menukarkan nama kepada Kim Harmon.

Walaupun ia berjaya dikesan oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia, insiden itu menyaksikan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan APMM bekerjasama untuk mengawasi pergerakan kapal MT Orkim Harmony.

Susulan insiden rampasan kapal berkenaan, APMM melalui Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (Star) akan melaksanakan pemeriksaan secara rambang ke atas kapal milik tempatan dan berdaftar di Malaysia secara lebih kerap.

Kehilangan kapal tersebut memberi iktibar kepada pasukan keselamatan untuk terus meningkatkan rondaan di perairan negara.

Tangani rasuah.

Mengenai inisiatif, Jabatan Imigresen sebagai agensi penguatkuasa melakukan transformasi ekoran kontroversi sejumlah kecil pegawainya didakwa terlibat rasuah.

Walaupun hanya sejumlah kecil, ibarat ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ sekali gus mencemarkan imej seluruh warga kerja Jabatan Imigresen.

Antaranya ialah pertuduhan terhadap seorang bekas ketua pengarah imigresen di atas kesalahan rasuah RM60,000 bagi tujuan mempercepatkan kelulusan permohonan visa pekerja warga Bangladesh tujuh tahun lalu.

Sama ada pegawai bawahan mahupun peringkat tertinggi, mana-mana agensi penguatkuasaan sentiasa terdedah dengan risiko menerima dan meminta suapan.

Urusan tanpa wang tunai di kaunter imigresen antara inisiatif Jabatan Imigresen untuk memberi khidmat kepada pelanggan tanpa sebarang persepsi negatif.

Sebagai usaha memperkukuhkan integriti, Jabatan Imigresen memulakan inisiatif menghapuskan transaksi tunai bagi urusan pelanggan tanpa sebarang persepsi negatif.

Selain perkhidmatan dalam talian bagi permohonan memperbaharui Pas Lanjutan Kerja Sementara (PLKS), sistem bayaran tanpa tunai turut diperkenalkan.

Orang ramai kini boleh berurusan di kaunter imigresen tanpa membawa wang tunai dengan hanya menggunakan kad debit, kad kredit termasuk draf bank.

Haramkan vape.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan vape atau rokok elektronik adalah haram. Ia susulan gejala terbaharu yang menjadi trend di kalangan rakyat negara ini, terutama golongan muda.

Bulan lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan vape di negeri itu bermula 1 Januari 2016.

Kementerian Kesihatan turut bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memberi tumpuan terhadap pengimportan rokok elektronik itu yang memberi kesan kepada kesihatan pengguna.

Cecair ganja untuk kegunaan e-rokok dan vape yang dirampas oleh Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING). 

Kelantan turut mengikut jejak Johor apabila memutuskan untuk mengharamkan penjualan vape di negeri itu mulai tahun depan, manakala Selangor akan memutuskan perkara sama selepas perbincangan yang sama diadakan awal 2016.

Selain faktor kesihatan, kewujudan perisa ketum dan dadah jenis syabu di dalam cecair vape dikesan oleh agensi penguatkuasaan.

Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman baru-baru ini berjaya mengesan dua premis yang dikatakan menjadi tempat penyimpanan perisa terlarang itu.

Dalam serbuan itu, sebanyak 214 botol cecair vape berjaya dirampas di dua serbuan berbeza di Ampang serta Banting, Selangor, termasuk menangkap tujuh suspek.

Artikel Sebelum

Artikel Lain