suria

Padah Tikam, Bakar Menantu Kakak, Wanita Warga Emas Dipenjara 18 Tahun

Lee Wei Chee, 62, (dua kiri) dan kakaknya, Lee Wei Hai, 65, (baju kuning) dibawa keluar Mahkamah Sesyen, Rabu, setelah dijatuhi hukuman atas tuduhan cuba membunuh anak menantu mereka tiga tahun lalu. Wei Chee dihukum penjara 18 tahun manakala kakaknya, Wei Hai diperintah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak. -fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Akibat perbuatan kejam dengan cuba membunuh menantu kakaknya dengan menikam dan membakar mangsa, seorang wanita warga emas berusia 63 tahun bakal meringkuk di dalam penjara selama 18 tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan tersebut.

Hakim Musyiri Peet turut memerintahkan kakak mangsa iaitu Lee Wai Mei, 66,  yang turut melakukan perbuatan sama terhadap menantunya dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak selama tempoh diperkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Lee Wai Chee, Hakim Musyiri berkata hukuman yang dijatuhkan terhadap tertuduh perlu mencerminkan kesalahan yang dilakukannya.

"Saya dapati perbuatan yang dilakukan ini amat kejam dan perlu diberi hukuman berat berdasarkan kesalahan berat yang telah dilakukan," katanya.

Wai Chee yang hadir pada prosiding hari ini dengan bertongkat dan kakaknya Wai Mei, 66, didakwa secara bersama-sama cuba membunuh Yeoh Kar Tin, 45, di blok S, Jalan Jenahak, Taman Tun Hassan, Bukit Mertajam dekat sini pada 8 Mei 2012 mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Kedua-dua beradik itu juga turut didakwa terhadap dua lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat ke atas mangsa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau 20 tahun.

Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa mencederakan mangsa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau  didenda atau kedua-dua sekali.

Bagaimanapun dalam kesemua pertuduhan itu mahkamah membebaskan ibu mertua mangsa Wai Mei atas alasan tidak waras dan mahkamah memerintahkan wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia mengikut Seksyen 348 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu Wai Chee turut dikenakan hukuman penjara selama 18 tahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga, bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman  tersebut berjalan secara serentak selama 18 tahun berkuatkuasa Rabu.

Terdahulu peguam Y. Anbananthan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon penggantungan pelaksanaan hukuman terhadap Wai Chee atas alasan anak guamnya sudah berusia dan mempunyai masalah kesihatan. Bagaimanapun permohonan peguam itu gagal selepas ia ditolak oleh mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Kamaliza Md Zin.

Anbananthan berkata pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.-- Bernama 


Artikel Lain