suria

Hanya 0.075 Peratus Pelajar Asing Terlibat Dalam Jenayah Di Malaysia

Datuk Seri Idris Jusoh
PUTRAJAYA: Hanya 0.075 peratus daripada 113,752 pelajar antarabangsa terlibat dengan jenayah di Malaysia, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh Rabu.

Beliau berkata ini adalah kerana kedatangan pelajar asing itu dipantau secara lebih efektif melalui kad identiti pelajar Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), yang diwujudkan sejak Julai lepas.
Katanya penubuhan EMGS sejak 2013 juga telah mengurangkan kes penyalahgunaan visa pelajar antarabangsa ke negara ini selain membantu meningkatkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa.

"Ramai membuat andaian bahawa setiap kejadian jenayah warga asing adalah melibatkan pelajar antarabangsa. Kemungkinan pelajar ini masuk ke Malaysia sebelum pengenalan kad EMGS.

"Sejak ada pemeriksaan dibuat oleh EMGS, statistik kementerian menunjukkan hanya 0.075 peratus sahaja pelajar terlibat dalam jenayah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Idris berkata peratusan kecil itu adalah hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, EMGS dan agensi penguatkuasa lain.

Mengulas lanjut, beliau mengakui kementerian tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap kemasukan pelajar antarabangsa yang datang ke Malaysia untuk mengikuti kursus tiga bulan di Pusat Bahasa.

"Tanpa kawalan itu, ramai telah menetap melebihi tempoh yang dibenarkan.Tetapi apabila kita memperkenalkan kad pelajar EMGS, semua butiran terperinci mengenai pelajar itu, kursus yang diikuti di universiti mana dan sebagainya boleh dipantau," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata kementerian juga turun padang dan membuat pemeriksaan mengejut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) untuk memastikan pas pelajar antarabangsa tidak disalahgunakan.

Tanpa mendedahkan institusi terlibat, beliau berkata kementerian telah menggantung empat IPTS daripada mengambil pelajar antarabangsa awal tahun ini kerana melanggar syarat yang ditetapkan EMGS.

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan antarabangsa, Idris berkata mesyuarat Kabinet semalam telah meluluskan tiga kaedah baharu bagi memperkasakan prosedur pengambilan pelajar antarabangsa berkuatkuasa 1 Jan depan.

Tiga kaedah itu ialah pelaksanaan permohonan pas pelajar antarabangsa secara dalam talian oleh penuntut itu sendiri kepada EMGS dan pas pelajar akan dikeluarkan mengikut tempoh pengajian dan tidak perlu memohon pembaharuan setiap tahun.

Kaedah ketiga merupakan pas lawatan sosial bagi Program Mobiliti yang boleh dikeluarkan untuk tempoh tiga bulan hingga 12 bulan maksimum.

Bagi pelajar antarabangsa yang sudah memulakan pengajian di Malaysia dan bakal membuat permohonan pembaharuan pas, Idris berkata ia akan diberikan untuk tempoh pengajian, dan permohonan itu perlu dibuat dan diuruskan di IPT masing-masing.

Katanya kementerian berharap untuk mencapai sasaran pendaftaran pelajar antarabangsa seramai 200,000 orang dengan anggaran sumbangan RM15.6 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2020.

Sehingga Oktober ini, Idris berkata seramai 113,752 pelajar antarabangsa yang merangkumi 75 peratus dari Asia, 15 peratus Afrika dan bakinya daripada negara lain mengikuti pelbagai kursus di IPT, dengan 32,495 pelajar daripadanya mengikuti kursus sarjana dan doktor falsafah.

Artikel Lain