suria

Hasan Ali Peroleh Ganti Rugi RM200,000 Menang Kes Saman Terhadap Mahfuz

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati) Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada Rabu berjaya memperoleh ganti rugi RM200,000 selepas menang kes saman yang dikemukakan terhadap bekas Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Saman tersebut difailkan Hasan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Anggota Parlimen Pokok Sena itu yang mendakwa beliau menerima bantuan kerajaan dalam setiap siri ceramahnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman Hasan selaku plaintif terhadap Mahfuz yang dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada 12 April 2012.

Mahkamah memerintahkan Mahfuz membayar kos RM30,000 kepada Hasan.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata mahkamah mendapati defendan (Mahfuz) mempunyai niat jahat semasa mengeluarkan kenyataan itu.

Nor Bee berkata kenyataan berkenaan jika dibaca secara keseluruhan boleh menyebabkan plaintif dipandang serong dan disifatkan sebagai seorang yang tidak jujur selain tidak layak memegang jawatan dalam politik.

"Kenyataan itu jika difahami dalam maksud semula jadi dan biasa, ia berupaya memberikan pandangan seperti yang dinyatakan plaintif (Hasan) dalam pernyataan tuntutannya," katanya.

Menerusi pernyataan tuntutan itu, Hasan mendakwa Mahfuz telah mengeluarkan kenyataan fitnah dalam satu sidang akhbar pada 2 Mac 2012 dan ia diterbitkan di beberapa akhbar serta laman portal.

Hasan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan satu injunksi menghalang Mahfuz mengulangi kata-kata fitnah tersebut.

Hasan diwakili peguam Y.S Ling manakala peguam Surya Putra Mohamed Taulan bertindak bagi pihak Mahfuz. Bagaimanapun plaintif dan defendan tidak hadir pada prosiding hari ini.

Artikel Lain