Dewan Negara Lulus RUU MKN - Semasa | mStar

Dewan Negara Lulus RUU MKN

Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara, diluluskan Dewan Negara malam Selasa.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, ketika mengumumkan perkara itu pada pukul 8.20 malam, berkata undang-undang itu diluluskan berdasarkan undian suara dengan lebih ramai yang menyokong berbanding yang membantah.

"Ia diwujudkan untuk menambah baik dan menjaga ketenteraman negara setelah mengambil kira keseluruhan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.

"Jangan ada prejudis, ia dibuat bukan untuk siapa-siapa tapi untuk negara tercinta," katanya selepas bacaan kali ketiga rang tersebut.

Rang itu telah dibahas begitu hebat oleh 37 senator baik daripada Barisan Nasional (BN) mahupun daripada pembangkang sepanjang persidangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu perdana menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.

"Fasal 18 RUU memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytihar sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan bertujuan mengawal serta mengurus ancaman dan tindak balas di peringkat awal sebelum menjadi lebih teruk.

"Fasal ini diwujudkan bagi melengkapi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan; bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memproklamasi (mengisytihar) darurat mengikut nasihat Jemaah Menteri.

"Kuasa mengisytihar darurat tetap terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Maka kenyataan bahawa Fasal 18 yang mengatakan perdana menteri mengambil alih kuasa Agong adalah tidak benar sama sekali kerana proklamasi darurat dan pengisytiharan kawasan keselamatan adalah berbeza," tegasnya.

Kepada cadangan memasukkan wakil dari Sabah dan Sarawak selain keanggotaan menteri dalam MKN, Shahidan berkata keanggotaan seseorang itu dipilih berdasarkan kepakaran dan bukannya semangat kenegerian.

Keanggotaan dipilih di kalangan mereka yang bersesuaian dengan 'subject matter'. Keanggotaan terlalu ramai adalah kurang sesuai dengan fungsi utama majlis (MKN) yang berkisar kepada keselamatan dan rahsia negara.

"Tetapi majlis akan tubuhkan sesuatu jawatankuasa khas dan memerlukan ahli jawatankuasa (AJK) dan di sini mana-mana pihak termasuk menteri akan dipanggil jika ada keperluan demi kelancaran majlis," jelas Shahidan.

Dalam pada itu, apabila memperjelaskan tentang keperluan RUU itu sedangkan wujudnya undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, Shahidan berkata tujuan kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dari segi fungsi dan tujuannya.

"Tujuan SOSMA adalah berkait mengenai prosedur dan siasatan berkaitan kesalahan keselamatan manakala POTA adalah untuk mencegah perlakuan pengganas yang beroperasi dari luar negara," jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa RUU itu lebih menjurus kepada peruntukan bagi pertubuhan Majlis Keselamatan Negara, pengisytiharan kawasan keselamatan dan pemberian kuasa khas kepada pasukan keselamatan.

"Oleh itu, apabila dibangkitkan bahawa RUU MKN adalah serupa seperti SOSMA dan POTA, ia memang tidak benar dan tidak berasas sama sekali," katanya.

Rang undang-undang itu sebelum ini diluluskan di Dewan Negara pada 3 Dis lalu selepas berdepan laluan getir daripada anggota Parlimen pembangkang yang mendesak supaya ia ditarik atau ditangguhkan.

RUU itu memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Ia antara lain menyebut Pengarah Operasi dilantik bertanggungjawab bagi operasi di dalam sesuatu kawasan keselamatan.

Pasukan keselamatan pula terdiri daripada Polis Diraja Malaysia; Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan; Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

RUU itu memperuntukkan bidang kuasa khas merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut. - BERNAMA

RUU MKN , Dewan Negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain