suria

Kepimpinan PAS Terbahagi Dua Berhubung Keputusan Bergabung Dengan Umno

Datuk Mahfuz Omar
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar percaya kepimpinan PAS kini sedang terbahagi dua, berhubung keputusan untuk bergabung dengan Umno.

Mahfuz percaya kenyataan Naib Presiden parti Idris Ahmad yang menggesa individu untuk meninggalkan parti itu jika mereka mahu melihat penggabungan dengan Umno secara tersirat menunjukkan terdapat dua pihak dalam kepimpinan PAS.

"Kenyataan YB Idris semacam wujudnya dua pihak dalam kepimpinan Pas sekarang ini. Satu pihak yang hendak bergabung, berkerjasama atau bertahaluf dengan Umno/BN, manakala satu pihak lagi menentang.

"Saya tidak pasti siapa di kalangan mereka. Tetapi kenyataan YB Idris menjadi bahan perbualan dan perbahasan di kalangan ahli biasa Pas," katanya.

Mahfuz berkata kenyataan Idris itu mencetuskan pandangan seolah-olah wujudnya usaha pihak-pihak tertentu dalam PAS untuk bergabung, berkerjasama atau bertahaluf antara PAS dengan Umno/BN.

"Masakan tiada angin pohon bergoyang. Sudah tentu individu tersebut bertaraf pimpinan tertinggi PAS dan bukannya ahli biasa.

"Kalau ahli biasa PAS mereka  percaya YB  Idris tidak perlu buat kenyataan untuk meminta individu tersebut meninggalkan PAS kerana usaha yang dilakukan oleh individu ahli biasa PAS tidak akan memberi kesan untuk menjadikannya keputusan parti," katanya.

Katanya beliau sendiri dihubungi oleh ahli-ahli PAS yang meminta pencerahan sambil menambah kenyataan  Setiausaha Agung PAS Datuk Takiuddin Hassan telah menimbulkan pelbagai spekulasi tentang masa depan dan haluan politik Pas.

"Saya hanya menjawab saya tiada maklumat apa yang sedang bergolak dalam Pas tentang isu kerjasama PAS-Umno.

"Tetapi ahli-ahli menyatakan wujudnya kenyataan-kenyataan yang pada pandangan mereka berlaku percanggahan terbuka di kalangan pimpinan," katanya.

Beliau turut mempertikaikan tentang kenyataan  Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan ahli PAS yang menentang kerjasama PAS-Umno perlu akur kepada keputusan Majlis Syura Ulamak PAS Pusat.

"Mereka menyatakan bagaimana Zahid boleh keluar arahan dan boleh tahu keputusan Majlis Syura.

"Adakah Majlis Syura sudah buat keputusan? Ini yang membingungkan ahli-ahli," katanya.

"Saya percaya kerisauan ahli PAS dalam isu ini ada asasnya dan bukan soal bersetuju atau menentang kerjasama. Tetapi mereka mahukan ketentuan dan kepastian.

"Saya percaya mereka boleh menerima keputusan hatta untuk berkerjasama dan bertahaluf dengan Umno/BN. Yang penting bagi mereka ialah keputusan yang pasti.

"Saya hanya menyatakan kepada mereka bertenang dan bersabar dalam menanti episod seterusnya. Saya percaya semuanya akan berakhir dengan  kepastian dan kesudahannya nanti," katanya.

Artikel Sebelum

Tun M Tonton Star Wars

Artikel Lain