suria

Kelantan Tunggu Pewartaan Fatwa Sebelum Buat Keputusan - Exco

KOTA BARU: Kerajaan Kelantan menunggu pewartaan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penggunaan vape dan rokok elektronik, sebelum membuat keputusan lanjut berhubung perkara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri akan melihatnya daripada sudut undang-undang dan keputusan yang dikeluarkan Jabatan Mufti Kelantan.

"Kita kena tengok daripada sudut undang-undang dan kena semak daripada sudut pewartaan pula. Kalau telah diwartakan, ia bukan lagi di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tapi jabatan lain.

"Saya tak boleh nak mendahului dalam perkara ini," katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Isnin lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Mengulas rayuan peniaga vape di negeri ini yang meminta kerajaan negeri melanjutkan notis penjualan peranti berkenaan selepas 1 Jan ini, beliau berkata pihaknya sedia berunding dengan golongan itu.

"Saya masih menunggu surat rasmi daripada mereka walaupun ada dakwaan daripada peniaga yang kata telah hantar surat kepada saya untuk bincang perkara ini.

"Saya tak boleh buat sebarang keputusan berdasarkan laporan akhbar semata-mata kerana ia tidak rasmi...tapi kita sedia berunding dengan peniaga berhubung perkara ini," katanya.

Kerajaan Kelantan pada 16 Dis lepas kekal dengan keputusan untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen berhubung penjualan vape dan turut mengeluarkan notis 14 hari kepada peniaga untuk memberhentikan penjualan peranti itu di premis masing-masing.

Ditanya mengenai pembukaan panggung wayang di negeri ini, Abdul Fattah berkata ia tidak menjadi masalah jika pengusaha boleh mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Beliau berkata antara syarat yang perlu dipatuhi adalah mengasingkan tempat lelaki dan wanita, tiada tayangan pada waktu Maghrib serta bulan Ramadan.

-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain