suria

Bekas Pengarah, COO KPFQ Bebas Tuduhan Menipu RM67 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ) dan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat itu dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat daripada 134 pertuduhan menipu pegawai bank lebih RM67 juta.

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan kedua-dua tertuduh Datuk Tan Han Kook, 61, dan Ching Siew Cheong, 53, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan," kata hakim yang membuat keputusan tersebut selepas mendengar keterangan 25 saksi pendakwaan serta dua saksi pembelaan dan hujahan pendakwaan dan pembelaan.

Pada 7 Dis 2012, Tan dan Ching didakwa dengan niat bersama menipu pegawai Malayan Banking Berhad (Maybank) bagi permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank adalah tulen.

Bagi kesemua pertuduhan itu mereka secara tidak jujur mendorong pegawai bank untuk memindahkan wang berjumlah RM67,433,143 ke dalam akaun tiga buah syarikat iaitu Asia Food Link Sdn Bhd, Violet Bonanza Sdn Bhd dan Stanson Marketing Sdn Bhd, yang mana pegawai itu tidak akan memindahkan wang tersebut sekiranya mereka tidak diperdayakan oleh kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Tingkat 8, Menara Hap Seng, Jalan P.Ramlee dekat sini antara Oktober 2011 hingga Februari 2012 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh juga didenda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datin Nurshuhaida Zainal Azahar, manakala Tan dan Ching masing-masing diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk N. Sivananthan.

KPFQ, Felda

Artikel Lain