suria

“Tiada Banduan Lari” – Jabatan Penjara

PETALING JAYA: Jabatan Penjara pada Rabu membuat penafian terdapat banduan melarikan diri dari penjara sebagaimana yang menjadi viral di media sosial.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Supri Hashim memberitahu mStar Online bahawa tiada banduan lari dari mana-mana penjara termasuk dari Penjata Sungai Buloh.

"Jabatan Penjara mengesahkan tiada banduan lari dari mana-mana penjara," katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi Whatsapp pada pagi Rabu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Beliau mengulas mengenai maklumat yang tersebar di media sosial sejak pagi Selasa berhubung banduan melarikan diri di kawasan berdekatan dengan Penjara Sungai Buloh.

Menurut maklumat berkenaan, suspek yang masih dalam keadaan bergari dan berbaju lokap dikesan melarikan diri ke kawasan Paya Jaras.

"Suspek dipercayai mempunyai banyak rekod jenayah. Minta jasa baik semua untuk membantu pihak polis mengesan suspek sekiranya melihat orang yang mencurigakan dan sila hubungi balai polis berdekatan anda,"  tambah mesej yang tersebar itu.

Bagaimanapun difahamkan, individu yang didakwa sebagai banduan itu merupakan suspek yang merupakan tahanan polis dekat Penjara Sungai Buloh.

Dalam pada itu, menurut laporan Kosmo memetik sumber sebagai berkata, seorang banduan terlibat dalam 29 kes ragut dan samun melarikan diri dalam keadaan tangan digari di Paya Jaras, Sungai Buloh pada Isnin malam.

Menurut sumber, ketika kejadian kira-kira pukul 8 malam, banduan berusia 34 tahun itu bersama pegawai dan anggota polis ke Paya Jaras untuk mengesan seorang lagi rakannya yang masih bebas.

Tambah sumber itu, usaha mengesan dan mencari banduan itu sedang giat diadakan di sekitar kawasan penjara dan kawasan penempatan berhampiran.

Artikel Lain