suria

Isu Pertemuan Nurul Izzah-Jacel Perlu Jadi Iktibar - Wanita Pensiangan

KUALA LUMPUR: Isu pertemuan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jacel H. Kiram perlu menjadi iktibar kepada semua pihak bahawa soal kedaulatan negara tidak boleh dikompromi.

Ketua Wanita bahagian Pensiangan, Sabah, Zaitun Anik berkata keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang meluluskan usul melarang Nurul Izzah masuk ke negeri itu amat bertepatan disebabkan tindakan Anggota Parlimen Lembah Pantai itu telah menyinggung perasaan rakyat Sabah.

"Pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel sangat menyinggung perasaan dan hati kami rakyat Sabah. Maka disebabkan itu, kami menyokong penuh Dewan Undangan Negeri Sabah yang meluluskan usul khas melarang beliau masuk ke negeri kami," katanya ketika membahaskan usul politik dalam ucapan dasar Ketua Wanita pada Perhimpunan Pergerakan Wanita Umno di sini, Rabu.

Zaitun berkata usul khas DUN Sabah itu merupakan peringatan kepada semua pihak supaya mengambil pengajaran dan tidak pandang ringan soal kedaulatan negara, selain menjaga sensitiviti rakyat negara ini.

Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini mengakui bertemu Jacel pada 9 November di Filipina bersama-sama dengan Anggota Parlimen Batu Tian Chua susulan tersebarnya gambar pertemuan beliau di media sosial.

Dalam perbahasannya, Zaitun turut menzahirkan kesetiaan dan sokongan Wanita Sabah terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam memacu negara dan parti.

Katanya setiap keputusan yang dibuat oleh Najib adalah berlandaskan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Justeru, beliau meminta anggota Umno di semua peringkat untuk terus memperkukuh saf perpaduan dan kerjasama bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam parti.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Mersing, Johor, Alwiyah Talib pula berkata tempoh dua tahun pendekatan di peringkat akar umbi untuk memenangi hati rakyat menerusi program-program bagi Pilihan Raya Umum ke-14 perlu dipertingkatkan.

Umno, katanya, harus mengubah persepsi masyarakat umum serta berfikir di luar norma bagi meneruskan kesinambungan dan kekuatan parti di peringkat kepimpinan tertinggi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain