suria

Adenan Sedia Kaji Semula Larangan Masuk Sarawak

Adenan Satem.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyatakan persetujuan mengenai kesediaan untuk mengkaji semula larangan masuk terhadap individu dari Semenanjung berdasarkan kes tertentu.

Menurut aktivis hak asasi manusia, Cynthia Gabriel, Adenan secara terbuka untuk meneliti kes individu terhadap mereka yang dilarang memasuki negeri itu dan melihat siapakah yang seharusnya dikeluarkan daripada senarai hitam.

Bagaimanapun katanya, Adenan turut menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak membenarkan ekstremis ke negeri itu.

Sekatan masuk ke negeri itu merupakan antara yang diperbincangkan bersama Ketua Menteri semasa Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mengadakan kunjungan hormat ke kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, Rabu.

Cynthia yang merupakan pengarah eksekutif C4 berkata, sekatan masuk yang dikenakan ke atas beliau telah ditarik balik bagi tujuan kunjungan hormat itu.

"Saya juga dilarang masuk ke Sarawak tetapi beliau menarik balik sekatan itu untuk pertemuan ini," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat.

Sekatan ke atas Cynthia dibuat semasa pentadbiran terdahulu pada 2005 semasa beliau mengetuai kumpulan hak asasi manusia iaitu Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain