suria

Kenyataan Shafie "Tunggu Lepas Perasmian" Cetus Tanda Tanya

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meninggalkan 1001 tanda tanya apabila enggan mengulas mengenai taklimat tertutup yang disampaikan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, malam Selasa.

Sebaliknya, Shafie meminta semua wakil media nantikan sehingga perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU 2015) selesai untuk beliau berkata sesuatu.

“Tunggu sehingga ucapan perasmian.

“Saya akan beri komen bila perasmian tamat,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada sesi taklimat presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Sebaik sahaja taklimat selesai, beliau terus keluar menuju ke keretanya tanpa menyertai dua lagi Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bersama Najib untuk mengumumkan kerja naik taraf bangunan PWTC.

Ditanya sama ada beliau mahu berkata sesuatu tentang apa yang berlaku malam ini, beliau sekali lagi mengunci mulut menyatakan ‘tunggu selepas perasmian”.

“Selama ini saya dah cakap banyak,” jawabnya ringkas.

Pada majlis malam ini, kerusi yang disediakan untuk Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kosong apabila beliau tidak menghadirkan diri.

Bagaimanapun, Shafie mengotakan kata-katanya apabila beliau tiba awal dan memasuki Dewan Merdeka pada pukul 8.15 malam.

Beliau tiba dan masuk ke dewan bersendirian tanpa diiringi sesiapa dan terus menaiki pentas di mana kerusi untuk pimpinan tertinggi Umno masih kosong pada ketika itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Umno Sabah Menang Anugerah Membara

Artikel Lain