suria

MAS Nafi Miliki Boeing Tidak Dituntut Di KLIA

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) menafikan memiliki mana-mana pesawat yang tidak dituntut dan diparkir di tempat letak pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut seorang pegawai perhubungan media MAS, syarikat tersebut tidak pernah memiliki mana-mana tiga pesawat Boeing 747-200F berkenaan.

"Sekiranya ia milik kami, kami akan menuntutnya," kata pegawai tersebut.

Pakar penerbangan mengaitkan dua daripada tiga pesawat tersebut dengan MAS selepas satu carian secara dalam talian mendapati MasKargo telah menyewakan dua pesawatnya kepada Air Atlanta Icelandic.

Bagaimanapun, Air Atlanta Icelandic menegaskan mereka 'tiada kaitan' dengan tiga pesawat yang tidak dituntut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malah menurut syarikat penerbangan itu, pesawat berkenaan telah dibatalkan nombor pendaftarannya dan dikembalikan kepada pemiliknya.

Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran Air Atlanta Icelandic, Baldvin M.Hermannsson memberitahu The Star dalam satu e-mel bahawa tiga pesawat tersebut bukan milik syarikat penerbangan itu tetapi dikembalikan kepada pemiliknya pada 2010.

"Pesawat tersebut yang menggunakan nombor pendaftaran TF-ARM, TF-ARN, TF-ARH, yang diletakkan di Malaysia, dikendalikan oleh Air Atlanta Iceland sehingga 2010 apabila ia dikembalikan kepada pemiliknya.

"Air Atlanta Icelandic tidak mengetahui siapa pemilik pesawat itu pada hari ini dan tiada kena-mengena dengan pesawat tersebut," kata Hermannsson.

Hermannsson tidak mendedahkan siapa pemilik pesawat tersebut pada 2010.

Katanya, ketiga-tiga pesawat itu dibatalkan pendaftarannya daripada Pejabat Pendaftar Jabatan Penerbangan Awam Icelandic.

Pesawat tersebut dengan nombor pendaftaran TF-ARM dan TF-ARN dibatalkan pendaftarannya pada 3 Januari 2012 manakala TF-ARH pada 9 Jun 2011.

MAS, Boeing, KLIA, tersadai

Artikel Lain