suria

"Saya Tidak Serang Pengerusi Eksekutif NFCorp Untuk Kepentingan Politik" - Nurul Izzah

Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah menegaskan beliau tiada niat untuk memfitnah Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dengan mempersoalkan pembelian lapan hartanah di KL Eco City.

Nurul Izzah memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa beliau bergantung pada satu kenyataan yang diberikan bekas Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli pada satu sidang media yang diadakan pada 7 Mac 2012 kerana beliau melakukan banyak penyelidikan dan siasatan terhadap isu NFC.

"Dalam pendapatnya (Rafizi) deposit hampir RM72 juta oleh NFC dalam Public Bank boleh mengakibatkan pinjaman yang diberikan Public Bank dalam pembelian lapan unit hartanah itu.

"Saya tidak mempersoalkan kenyataan (Rafizi), tapi sebenarnya menyokong ia apabila saya berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa wang deposit itu digunakan untuk mendapatkan pinjaman," katanya.

Ketika ditanya oleh peguamnya, Joshua Kevin, Nurul Izzah berkata beliau tiada sebab untuk mempercayai bahawa ia adalah dakwaan palsu.

Katanya, beliau tidak menyerang Dr Mohamad Salleh dan NFCorp untuk kepentingan politik kerana pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Nurul Izzah berkata beliau hanya seorang daripada beberapa ahli politik yang menyatakan kebimbangan terhadap isu tersebut sambil menambah Ketua Audit Negara telah membangkitkan isu berhubung Pusat Fidlot Kebangsaan.

Hakim Mahkamah Datuk Hue Siew Kheng mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan hujah bertulis pada 15 Januari 2016 dan menetapkan 21 Januari untuk mendengar penjelasan daripada mereka.

Dalam saman fitnah yang difailkan pada Disember 2013, Dr Mohamad Salleh dan NFCorp menamakan Nurul Izzah dan bekas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution sebagai defendan kerana didakwa membayangkan beliau bersikap tamak dan menggunakan kedudukan isterinya untuk mendapatkan kekayaan.


Nurul Izzah, NFCrop, saman fitnah

Artikel Lain