suria

Pesawat Tersadai:MAHB Ikut Prosedur Industri Sebelum Ambil Tindakan Lanjut

Dua daripada pesawat Boeing yang diletakkan di KLIA lebih setahun dan kini dalam tindakan MAHB.

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mematuhi semua prosedur industri dalam mengendalikan tiga pesawat Boeing 747-200F yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holding Berhad, Datuk Badlisham Ghazali berkata mengesan pemilik dan meminta mereka mengambil kembali pesawat berkenaan berdasarkan undang-undang adalah suatu proses rumit.

"Kadang-kadang, pengesanan sukar dibuat kerana pemilikannya banyak kali bertukar tangan," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas tentang status pesawat berkenaan.

Terdahulu, beliau melancarkan "Indulge and Explore Campaign at the Kuala Lumpur International Airport (KLIA) 2" yang berlangsung selama tiga bulan di sini, Selasa.

Isnin, MAHB mengeluarkan notis dalam ruangan iklan terklas akhbar The Star setelah gagal mengesan pemilik tiga pesawat komersial terbabit, walaupun mempunyai nombor pendafatarannya.

Badlisham berkata masalah seperti itu bukan sahaja dihadapi KLIA, tetapi juga lapangan terbang lain.

"Kadang-kadang, pesawat dihantar ke Malaysia untuk dibaiki," katanya dan menjelaskan bahawa sesetengah pemilik dapat dijejaki, tetapi mereka tidak mahu mengambil balik pesawat masing-masing atau pemiliknya sudah bertukar.

"Jika pemilik berkenaan tidak memberi respons dalam masa 14 hari, MAHB perlu memutuskan sama ada melupuskan pesawat berkenaan untuk mewujudkan lebih banyak ruang bagi kegiatan komersial di lapangan terbang ini," katanya.

Ditanya mengenai kos setiap pesawat berkenaan, beliau berkata ia bergantung sudah berapa lama pesawat itu diletakkan di KLIA kerana di samping caj bagi meletakkannya di situ, terdapat juga alasan dan bayaran lain yang perlu diambil kira.-- Bernama

MAHB, Air France, KLIA

Artikel Lain