suria

"Daku Pulangkan Anakku KepadaMu Ya Allah" - Raja Zarith Sofiah

Raja Zarith Sofia menyiram air mawar ke pusara Tunku Abdul Jalil sambil dibantu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Sabtu.

PETALING JAYA: Raja Zarith Sofiah Sultan Idris menulis warkah buat anak lelakinya Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat akibat kanser pada Sabtu.

Dalam warkah berkenaan, Permaisuri Johor bertitah, baginda simpan seribu satu kenangan bersama Tunku Laksamana Johor itu sehingga hari terakhirnya.

"Mama terkenang satu ketika sewaktu Lil memejam mata dan air mata menitis di pipi Lil, semasa Lil cuba melawan kesakitan yang ditanggung dan Mama pegang tangan kiri Lil dan menangis. Mama mencuba sedaya upaya untuk menahan sedu sedan Mama dari kedengaran.

"Mama fikir Lil tidak nampak Mama menangis kerana mata Lil pejam. Tapi Lil tahu. Lil meletakkan tangan kanan Lil di atas tangan Mama dan menepuk-nepuk dengan perlahan seolah berkata, "Jangan menangis, Lil tidak apa-apa"," titah baginda menerusi surat yang dimuat naik ke laman Facebook pada Selasa.

Raja Zarith bertitah, baginda mengingati semua mesej pesanan ringkas yang dihantar kepadanya termasuklah doa Tunku Jalil untuk menanggung semua kebimbangannya.

Titah baginda, Allah menempatkan Tunku Jalil ke hospital supaya semua keluarganya boleh meluangkan masa bersama beliau.

Baginda juga bertitah, apabila baginda melihat kubur Tunku Jalil, hatinya penuh keperitan.

"Mama masih terbayangkan detik ketika Babah, abang dan adik Lil memenuhkan kubur dengan tanah sementara Boo dan Inah berada disisi Mama. Mama memandang ke arah abang dan adik Lil, dan membilang hanya tiga anak lelaki. Boo disisi mama.

"Anak lelaki Mama lima orang. Di mana anak Mama yang lagi seorang. Dan Mama baru tersedar bahawa Lil yang tiada. Lil kini berada di bawah timbunan tanah itu.

"Dan pada ketika itu, Mama menadah kedua tangan dan berbisik "Sesungguhnya dariMu kami datang, dan kepadaMu jua kami kembali. Daku memulangkan kepadaMu, Ya Allah, anakku. Moga Lil ditempatkan bersama mereka yang soleh"," titah baginda.

Artikel Lain