suria

Dua Lagi Ahli 'Geng Dugong' Ditahan

SUNGAI BULOH: Sekumpulan peragut yang dikenali sebagai 'Geng Dugong' berjaya dilumpuhkan selepas penahanan dua baki kumpulan tersebut di Kampung Melayu, Batu 13.5 di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Rozi Jidin berkata kumpulan tersebut dipercayai menjalankan kegiatan ragut secara aktif sejak 2014.

Menurut beliau, kebanyakan ahli kumpulan itu ditahan kerana merompak rumah seorang doktor pada tahun lalu.

Katanya, baki ahli kumpulan masih lagi aktif melakukan rompakan dan mencederakan mangsa.

"Jika mangsa mereka melawan, mereka akan diseret oleh motosikal. Dalam beberapa kes, ini membawa kepada kes kematian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Sungai Buloh pada Selasa.

Mohd Rozi berkata polis memburu baki 'Geng Dugong' di Sungai Buloh dan menahan dua individu pada Isnin.

Kedua-dua suspek berusia antara 17 dan 20 tahun.

"Mereka terlibat dalam enam kes samun tepi jalan dalam tempoh dua minggu lalu. Kami merampas sebuah kenderaan dan beberapa barangan yang digunakan untuk merompak," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau seperti curi kereta, pecah rumah dan kesalahan berkaitan dadah.

Mohd Rozi berkata beberapa ahli 'Geng Dugong' masih lagi bebas dan terlibat dalam kes rompakan dan mendatangkan kecederaan kepada orang ramai.

"'Ketua' kumpulan itu dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA). Namun, kami masih lagi memburu salah seorang lagi ketua mereka," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

Geng Dugong, tumpas, PDRM

Artikel Lain