suria

Rahman Dahlan Fail Saman Terhadap Portal Berita

Abdul Rahman Dahlan.

PUTRAJAYA: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mengarahkan peguamnya memulakan tindakan untuk memfailkan saman terhadap satu portal berita bertujuan untuk membersihkan namanya.

"Saya tegaskan di sini bahawa tindakan saya pada hari ini bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi sebagai peringatan kepada portal-portal berita online supaya lebih berhati-hati bila mengeluarkan sesuatu berita dan tidak mengkompromi fakta," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Pada 25 November, Abdul Rahman berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap portal berita tersebut akibat daripada tindakan memuat naik sebuah video berhubung kenyataannya berhubung migrasi penduduk dari bandar ke luar bandar pada satu sidang media di Kuala Lumpur pada 3 November lepas.

Katanya peguam yang menyerahkan surat tuntutan bertarikh 24 November kepada portal berita tersebut dan juga penulisnya, menuntut antara lain supaya mereka mengeluarkan dan menerbitkan satu permohonan maaf terhadapnya akibat penerbitan video yang diedit.

Beliau juga menuntut portal berita dan penulis berkenaan supaya memberi akujanji untuk tidak menerbitkan, mengeluarkan, mencetak atau menyebabkan dicetak atau diterbitkan perkataan-perkataan atau perkara serupa yang memfitnah beliau.

"Malangnya, saya telah menerima surat balasan daripada portal berita online bertarikh 27 November di mana mereka gagal memberikan jawapan yang memuaskan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PAU 2015 Buka Tirai

Artikel Lain