suria

Tipu Wang Lebih RM5 Juta: Ahli Perniagaan Bergelar 'Datuk' Dipenjara Empat Tahun

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Ahmad Sabri Abdul Manaf dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, Isnin selepas mengaku bersalah atas 54 pertuduhan antaranya menipu melibatkan wang berjumlah RM6.7 juta, lima tahun lepas.

Hakim Abdul Rashid Daud menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap 34 pertuduhan menipu, empat tahun penjara bagi setiap 19 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat tahun untuk satu pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah yang kesemuanya berjumlah RM6.7 juta.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas bekas isterinya, Felinnia Saruti Sadri, 37, selepas mengaku bersalah terhadap 39 pertuduhan iaitu dihukum penjara 12 bulan bagi 19 pertuduhan bersubahat menipu.

Abdul Rashid juga memutuskan hukuman sama terhadap Felinnia bagi 19 pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah melibatkan RM4.4 juta daripada jumlah RM6.7 juta itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman ke atas Ahmad Sabri, 65, dan Felinnia Saruti berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 21 Jan lepas.

Bagi 34 pertuduhan menipu, Ahmad Sabri didakwa menipu 12 individu untuk membuat pelaburan berkaitan perniagaan Malaysia Airlines (MAS) iaitu pembelian dan penjualan semula tiket penerbangan sempena musim perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang, April 2011.

Dia didakwa menipu kesemua mangsa tersebut bahawa dia boleh mendapatkan pulangan modal selain menjamin keuntungan sebanyak 10 dan 15 peratus dalam perniagaan tersebut sehingga mendorong mereka menyerahkan wang RM6.7 juta.

Ahmad Sabri didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi sekitar ibu kota antara April 2010 dan Februari 2011, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 25(1) BAFIA 1989 dibaca bersama Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Nombor Siri 20 dalam Jadual Keempat akta sama kerana menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan KLCC, Lot C04-C05, Concourse Level, Lot C, Suria KLCC, di sini antara 15 April 2010 dan 18 Feb 2011.

Sementara itu, Felinnia Saruti didakwa pertuduhan bersubahat menipu individu yang sama di tempat sama, pada tarikh dan mengikut seksyen yang sama.

Terdahulu, peguam Datuk Mohd Shahrom Mohamad mewakili Ahmad Sabri merayu mahkamah mengambil kira faktor usia anak guamnya selain masalah kesihatan iaitu penyakit pneumonia yang serius.

Beliau berkata anak guamnya menceraikan Felinnia Saruti, rakyat Indonesia yang memiliki status penduduk tetap Malaysia, ketika kes itu dalam siasatan polis.

Peguam Ahmad Faris Khairudin mewakili Felinnia Saruti pula merayu mengambil kira faktor anak guamnya perlu menjaga anaknya yang masih kecil dan perbuatan tertuduh itu hanya dipengaruhi oleh bekas suaminya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhaida Zainal Azahar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan masyarakat serta menasihatkan agar tidak mudah memberi nombor akaun kepada orang lain termasuk suami sendiri.

Artikel Lain