suria

Empat Individu Didakwa Culik Bayi Berusia 12 Hari

- Gambar hiasan
MELAKA: Empat individu termasuk seorang wanita pemilik pusat tuisyen dan adik perempuannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan menculik seorang bayi berusia 12 hari, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh iaitu Bong Wei Na, 24 dan adiknya, Bong Wei Yee, 21 serta dua lagi, Law Jie Wen, 21 dan James Tan Chiat Shen, 18.

Mengikut pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin, kesemua tertuduh didakwa menculik dan menahan dengan salah bayi tersebut dengan niat untuk meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 daripada ibu mangsa berusia 20 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Kota Laksamana, Seksyen 3, di sini, pada pukul 6.20 petang, 24 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 (Akta 365) yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban dan mahkamah kemudian menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, ibu mangsa telah menerima khidmat pesanan ringkas pada pukul 6.52 petang pada tarikh berkenaan meminta beliau menyerahkan wang tebusan RM300,000.

Selepas berbincang, penculik terbabit bersetuju mengurangkan jumlah itu kepada RM200,000 dan keluarga mangsa menyerahkan wang tebusan tersebut di sebuah premis pusat tuisyen di Pulau Gadong di sini, pada keesokannya.

Artikel Lain