suria

Nusajaya Dikenali Sebagai Iskandar Puteri Januari Depan

KULAI: Nusajaya, yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor akan dikenali dengan nama Iskandar Puteri, Januari depan.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim berkata pertukaran nama itu sudah mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kelulusan kerajaan negeri.

"Daerah Ledang pula akan dikenali dengan nama daerah Tangkak manakala Kulaijaya dengan nama Kulai," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia kali ke-4, di sini, Isnin.

Ismail berkata pihaknya menjangkakan kesemua nama baharu itu dapat dikuatkuasakan Jan depan selepas segala proses mewarta dan dokumentasi, siap bulan ini.

Menurut Ismail, pertukaran nama daerah itu dibuat selepas kajian menyeluruh terhadapnya dijalankan yang mengambil kira kesesuaiannya serta nilai sejarahnya.

"Nama Iskandar Puteri adalah gabungan nama Tanjung Puteri dan Kota Iskandar manakala Tangkak dan Kulai adalah berdasarkan nama lama yang dikenali sebelum ini iaitu daerah kecil Tangkak dan Kulai," katanya.

Pada Ogos lepas, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan negeri Johor menukar semula nama daerah Kulaijaya kepada nama asalnya dengan serta-merta.

Baginda bertitah walaupun nama sesebuah kampung atau tempat bunyinya agak pelik, ia hendaklah dikekalkan kerana ia dinamakan oleh nenek moyang mengikut kesesuaian dan sejarahnya.

Sultan Ibrahim turut bertitah supaya kerajaan negeri meneliti nama sesuai bagi Nusajaya kerana nama itu tidak mempunyai kaitan dengan sejarah kawasan itu.

Artikel Lain