suria

Kemalangan Myvi: Sampel Cat Turut Diambil Untuk Tentukan Kesan Perlanggaran Pertama

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Trafik hari ini bahawa beliau mengambil sampel cat dari tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang meragut nyawa tiga beranak pada Mei lepas untuk dianalisis.

Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia, Mohd Amir Husna Nik Alli@Zulkifli berkata sampel cat daripada dua Perodua Myvi berwarna kuning dan putih serta Mitsubishi Pajero berwarna hitam itu diambil dan dianalisis untuk menentukan kesan pelanggaran pertama yang berlaku antara tiga kenderaan itu.

"Saya telah melakukan pemeriksaan fizikal pada ketiga-tiga kenderaan dengan melihat kepada kerosakan-kerosakan yang penting dan berkaitan pada kenderaan tersebut. Kemudian saya juga mengambil sampel cat untuk dibuat analisis," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzi.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan dua pemandu Myvi, Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.

Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza didakwa melakukan kesalahan itu di Km6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam hingga 12.35 tengah malam pada 2 Mei lepas.

Mohd Amir Husna merupakan saksi kelima yang dipanggil menyambung semula keterangan pada perbicaraan yang masuk hari ketujuh, Isnin.

Saksi itu menjelaskan beliau mengambil sampel cat daripada ketiga-tiga kenderaan yang melekat pada kenderaan-kenderaan terlibat.

Ketika pemeriksaan balas peguam Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini, saksi itu memberitahu beliau menentukan kesan pelanggaran pertama berdasarkan pemeriksaan terhadap kerosakan dan kesan perpindahan cat pada kenderaan yang terlibat kemalangan.

"Berdasarkan kerosakan dan arah pergerakan perpindahan cat, yang saya temui dan juga melihat kepada kerosakan atau impak paling kuat yang biasanya boleh menunjukkan sebagai 'petunjuk', itu adalah kesan pelanggaran pertama," katanya yang memberitahu ia adalah cara untuk mengesahkan sesuatu pelanggaran pertama.

Mohd Amir Husna berkata apa yang dimaksudkan dengan pelanggaran pertama ialah sentuhan pertama yang berlaku antara ketiga-tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Saksi itu turut memberitahu beliau ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan fizikal dan menentukan kesan pelanggaran pertama yang berlaku antara ketiga-tiga kenderaan itu berdasarkan permohonan pihak polis.

Menurutnya, beliau menerima ketiga-tiga kenderaan untuk dibuat pemeriksaan fizikal itu pada 5 Mei 2015, tiga hari selepas kemalangan itu berlaku.

"(Kesemua) Kereta dibawa serentak pada 5 Mei, menggunakan 'trak penunda'," katanya.

Pada perbicaraan hari ini Mohammad Fizal Reza diwakili peguam S.N. Seelan.Peguam pemerhati C. Leo Camoens turut hadir mewakili keluarga mangsa. 
Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung esok.

Artikel Lain